Amir Mamat

Melaka: Laluan udara di negeri ini bakal kembali sibuk apabila penerbangan komersial yang membawa penumpang dari Pekanbaru, Indonesia dan Pulau Pinang ke Melaka, mula beroperasi hari ini.

Penerbangan sulung pesawat Batik Air ke Melaka itu sekali menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang ditutup operasi sejak tiga tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19, kembali aktif.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis, berkata, syarikat penerbangan itu memperkenalkan laluan penerbangan dua hala Melaka-Pulau Pinang dan Melaka-Pekanbaru melalui LTAM setiap hari dengan menggunakan pesawat ATR-72.

Katanya, cadangan itu adalah satu perkembangan baik bagi sektor pelancongan Melaka, sekali gus memberi kemudahan kepada penumpang dari negeri ini selain Johor dan Negeri Sembilan untuk menggunakan perkhidmatan ini dengan tawaran harga berpatutan.

"Harga yang ditawarkan adalah RM129 sehala bagi penerbangan ke Pulau Pinang dan 695,999 rupiah (kira-kira RM200) bagi penerbangan sehala ke Pekanbaru," katanya selepas menyambut ketibaan penumpang bagi penerbangan sulung Pulau Pinang-Melaka di LTAM, Batu Berendam di sini hari ini.

Pesawat Batik Air membawa 38 penumpang dari Pulau Pinang itu menjadi penerbangan pertama mendarat di LTAM pada jam 11.30 pagi hari ini.

Pesawat terbabit melakukan penerbangan dari LTAM ke Pekanbaru dengan membawa 50 penumpang termasuk Muhammad Jailani.

Turut hadir, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengurus Besar Tourism Melaka, Sa'ari Basiron; Pengurus Besar Kanan (Strategi), Malaysia Airports Holdings Berhad, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin dan Pengarah Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Kerajaan, Raja Sa'adi Raja Amrin.

MUHAMAD Jailani (lima kanan) bersama Rahmad ((tengah) menyambut pesawat Batik Air yang mendarat di LTAM, hari ini.  FOTO Amir Mamat.
MUHAMAD Jailani (lima kanan) bersama Rahmad ((tengah) menyambut pesawat Batik Air yang mendarat di LTAM, hari ini. FOTO Amir Mamat.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri berbincang dengan pelbagai pihak di peringkat pusat dan antarabangsa bagi memastikan LTAM beroperasi semula terutama selepas pintu sempadan negara dibuka bermula 1 April lalu.

Katanya, pembukaan LTAM dianggap penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan dengan kemasukan lebih ramai pelawat.

"Melaka meneroka pasaran baharu bagi menarik lebih ramai pelancong khususnya dari India dan Brunei dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pelancong Asia Timur seperti China, Taiwan dan Jepun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mensasarkan 5.6 juta pelancong ke Melaka tahun ini.

Katanya, sehingga Jun lalu, Melaka merekodkan kehadiran pelancong seramai 2.5 juta orang dengan peningkatan seramai 1.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Ini adalah satu permulaan yang baik bagi Melaka dalam usaha menggiatkan semula perkembangan ekonomi dalam sektor pelancongan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 4:09 PM