TERMINAL LTAM suram tanpa kehadiran penumpang dan orang ramai. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERMINAL LTAM suram tanpa kehadiran penumpang dan orang ramai. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Kebelakangan ini pelanggan hampir tiada disebabkan penerbangan komersial sudah dihentikan. Saya amat berharap lapangan terbang ini dapat beroperasi seperti sediakala," ujar peniaga kedai serbaneka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Lizawati Shamsuddin, 51.

Menurutnya, dia tetap berniaga setiap hari di LTAM disebabkan terikat dengan perjanjian dan terpaksa menanggung kerugian.

"Saya hanya bergantung kepada kakitangan lapangan terbang ini yang bekerja atau mereka yang menggunakan pesawat persendirian serta pelatih akademi penerbangan.

"Dulu, sebelum Covid-19 melanda, perniagaan di sini maju dengan kehadiran pelancongan dari dalam dan luar negara mahupun penduduk tempatan. Tetapi selepas pandemik keadaan berubah. Malah saya hairan ada orang Melaka yang tidak tahu kewujudan LTAM," katanya ketika ditemui.

Ketika tinjauan Harian Metro tadi, kedai berkenaan satu-satunya premis dibuka di dalam terminal LTAM yang kelihatan begitu suram tanpa kelibat orang ramai.

Hanya ada dua petugas di kaunter pertanyaan serta pekerja pembersihan dilihat di lokasi itu.

LTAM yang sebelum ini dilaporkan meriah pada Mei lalu dengan kehadiran pelancong dari Pekanbaru, Indonesia menerusi penerbangan pertama pesawat Wings Air, kelihatan seperti ditinggalkan apabila operasi pesawat komersial dihentikan sementara sejak 6 Ogos lalu.

"Mengikut surat daripada pengurusan LTAM, operasi pesawat komersial dihentikan dari 6 hingga 16 Ogos, namun hingga kini masih tiada pesawat komersial mendarat.

"Difahamkan kerajaan negeri akan menganjurkan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) selama tiga hari bermula 29 September ini. Harapan saya lapangan terbang ini dapat beroperasi seperti biasa seleas karnival itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka, Madelina Wl Kuah berharap kerajaan negeri mempertimbang untuk membuka semula penerbangan komersial bagi merancakkan sektor pelancongan termasuk pelancongan kesihatan dari Indonesia.

"Jika ada penerbangan terus dari Pekanbaru ke Melaka lebih mudah bagi warga Indonesia datang ke sini berbanding menaiki feri dari Dumai dan Bengkalis atau melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 2:13 PM