Hameed Mytheen Kunju Basheer
Hameed Mytheen Kunju Basheer
Nazri Abu Bakar


Melaka: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam bakal diaktifkan semula membabitkan laluan Melaka-Pekan Baru (Indonesia), Pulau Pinang dan Kota Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas daripada tujuh syarikat penerbangan untuk kembali beroperasi di LTAM.

Menurutnya, laluan dijangka turut membabitkan Melaka-Padang, Indonesia sekali gus membolehkan LTAM kembali hidup menerusi pembabitan syarikat penerbangan berkenaan kelak.

Katanya, pihaknya akan menyediakan perjanjian terperinci untuk memastikan tiada syarikat penerbangan yang akan menamatkan perkhidmatan sesuka hati seperti apa yang berlaku sebelum ini.

"Bagi memastikan kepentingan kedua-dua pihak maka perjanjian menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu penting untuk memastikan LTAM mampu beroperasi dengan baik.

"Malah, syarikat penerbangan tidak mengambil mudah untuk menghentikan perkhidmatan mereka seandainya tiada pelanggan dengan mengikut kontrak dan terma yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 di LTAM, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan ketujuh-tujuh syarikat penerbangan berkaitan dan menunggu jawapan bagi menyatakan minat mereka pada penghujung bulan ini.

Katanya, ketiadaan dokumen perjanjian antara mana-mana syarikat penerbangan komersial dengan kerajaan negeri menjadi antara faktor kegagalan LTAM untuk beroperasi sebelum ini.

"Kita mendapati ketiadaan penumpang menjadi antara punca kegagalan pengoperasian LTAM, maka kerajaan negeri akan memberi insentif seperti sebelum ini dalam menangani isu berkenaan, namun perlu ada perjanjian yang akan dimuktamadkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 5:34 PM