Melaka: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, Melaka yang semakin sibuk sejak Malindo Air memulakan operasinya pada November lalu apabila ia dilihat mampu menjadi pemangkin untuk merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Lim Ban Hong berkata penerbangan Malindo Air lima hari seminggu ke tiga destinasi iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Pekanbaru menjadi faktor penggalak kepada kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya ini termasuk menggalakkan kedatangan pelancong dari Indonesia berikutan Melaka adalah negeri pelancongan kesihatan yang sering dikunjungi rakyat dari negara itu terutama dari Pekanbaru.

“Sekarang ini, pengangkutan udara menjadi pintu masuk penting untuk Melaka apabila kita menerima ramai pelancong dari luar negara seperti Indonesia.

Diharap selepas ini, kita boleh menerima pelancong dari negara lain seperti China,” katanya, semalam.

Harga tiket untuk penerbangan Malindo Air bagi laluan Melaka-Pulau Pinang berharga RM79 sehala, manakala RM70 bagi laluan sehala dari Melaka-Pekanbaru, dan Melaka-Kota Bharu berharga RM79 sehala.

LTAM yang siap sepenuhnya pada 2011 mempunyai landasan sepanjang 2,135 meter dan lebar 45 meter untuk menerima pendaratan pesawat besar termasuk Airbus 320.

Bagaimanapun, LTAM dilihat lesu sejak ia mula dibuka berikutan syarikat penerbangan kurang berminat untuk beroperasi di lapangan terbang tersebut. Langkah Malindo Air memulakan operasinya di LTAM menjadi titik tolak lapangan terbang itu ‘hidup semula’.

Melaka menyasarkan kedatangan 15 juta pelancong pada tahun ini dan daripada jumlah itu, 120,000 pelancong disasarkan pelancong kesihatan yang ingin mendapatkan rawatan pakar di hospital swasta di Melaka.

Lim berkata kekerapan penerbangan mampu menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada syarikat ejen pelancongan untuk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata ia sekaligus membolehkan ejen pelancongan mempromosikan Melaka sebagai pusat pelancongan terkemuka dunia sejajar dengan kedudukan Melaka sebagai tapak warisan dunia. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:57 AM