Dr. Abdul Latiff (tiga dari kiri) melihat produk jualan di Galeri DesaMall@Mersing
Dr. Abdul Latiff (tiga dari kiri) melihat produk jualan di Galeri DesaMall@Mersing
Nurul Amanina Suhaini

Mersing: Kerajaan menyasar mewujudkan 80,000 usahawan luar bandar sebagai inisiatif merangsang penjanaan ekonomi khususnya secara dalam talian bagi tempoh dua tahun.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, berkata menerusi Program DesaMall@KPLB yang diperkenalkan sejak 2017, ia bertujuan membantu usahawan luar bandar mempromosi produk di platform e-Dagang dan 'On Demand' yang disertai oleh program ini sesuai dengan era globalisasi pada masa kini.

Katanya, semasa program ini mula diperkenalkan, KPLB bekerjasama dengan satu platform e-Dagang sahaja iaitu 11Street (kini dikenali sebagai PrestoMall)

"Mulai Jun 2018, KPLB mula memasarkan produk usahawan DesaMall@KPLB dalam beberapa platform e-Dagang seperti Lazada, Shopee dan eBay.

"Sehingga kini, seramai 1,660 usahawan luar bandar memanfaatkan Program DesaMall@KPLB sebagai platform untuk memasarkan produk dan barang yang dihasilkan oleh mereka secara dalam talian.

"Sejak dilancarkan pada Oktober 2017, DesaMall@KPLB mencatatkan jumlah jualan usahawan luar bandar sebanyak RM1.45 juta dengan 1,572 produk dipasarkan membabitkan 21,498 Stock Keeping Unit (SKU).

"Usahawan luar bandar perlu lebih berani teroka perniagaan secara dalam talian supaya dapat menembusi pasaran lebih jauh sama ada di seluruh negara ataupun antarabangsa.

Dr. Abdul Latiff (kiri) pada majlis perasmian Galeri DesaMall@Mersing sempena Mini Karnival DesaMall@KPLB di Pusat Komuniti Desa, Air Merah, Mersing.
Dr. Abdul Latiff (kiri) pada majlis perasmian Galeri DesaMall@Mersing sempena Mini Karnival DesaMall@KPLB di Pusat Komuniti Desa, Air Merah, Mersing.

"Keutamaan kerajaan pada masa kini adalah membuka lebih banyak peluang dalam bidang keusahawanan secara dalam talian serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pasaran yang baharu bagi membantu rakyat terutamanya pasca Covid-19," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Galeri DesaMall@Mersing sempena Mini Karnival DesaMall@KPLB di Pusat Komuniti Desa, Air Merah, di sini, baru-baru ini.

Abdul Latiff berkata, inisiatif itu diharap dapat meningkatkan hasil jualan usahawan luar bandar kepada 10 peratus sehingga 30 peratus setahun menerusi perniagaan dan pemasaran dalam talian dan membantu menambahbaik mutu serta kualiti produk untuk kesediaan berniaga dalam talian.

Pada majlis itu katanya, Johor terpilih sebagai satu daripada pusat pewujudan
Stor Konsep dinamakan Galeri DesaMall@Mersing yang mempamerkan produk usahawan luar bandar secara fizikal.

Katanya, program Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu adalah satu daripada komitmen pihaknya memasarkan produk luar bandar ke seluruh pelusuk negara malah mampu membuka peluang produk tempatan bersaing di persada dunia menerusi platform dalam talian.

KPLB dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengadakan Mini Karnival DesaMall@KPLB yang turut disertai agensi KPLB antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Kini, selari dengan norma baharu, KPLB memulakan perluasan Program DesaMall@KPLB yang menyaksikan kerjasama strategik antara KPLB menerusi syarikat pentadbir iaitu eLokal Sdn Bhd dengan Grab Malaysia yang bertujuan untuk berkolaborasi dalam mempromosi dan memacu penerimaan e-Dagang bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian bagi memenuhi permintaan 'on demand' yang semakin meningkat.

Mini Karnival itu turut membabitkan penyertaan rakan strategik KPLB seperti Telekom Malaysia (TM) Berhad, CELCOM Axiata Berhad dan juga dari eLokal Sdn Bhd yang merangkumi jualan produk dan juga aktiviti tarikan pengunjung.

Manakala, Grab Malaysia pula mengadakan 'recruitment drive' bertujuan pengambilan pemandu / penunggang penghantar cepat serta pendaftaran peniaga atau pedagang bagi tujuan inisiatif GrabMart atau GrabFood.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:01 AM