PRODUK usahawan yang ada di DesaMall.
PRODUK usahawan yang ada di DesaMall.
Suliati Asri

Putrajaya: Dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan program DesaMall@KPLB bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara dalam talian.

Inisiatif itu adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran Termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, objektif program DesaMall@KPLB ini untuk memperluas pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar melalui platform e-dagang.

Bukan itu saja, katanya, program itu juga membantu meningkatkan hasil jualan usahawan luar bandar kepada 10 peratus sehingga 30 peratus setahun melalui perniagaan dan pemasaran secara dalam talian.

"Apabila menyebut perkataan mall, ia sangat besar dan begitu juga dengan DesaMall@KPLB yang menghimpunkan pelbagai produk usahawan luar bandar yang banyak seterusnya memasarkannya secara dalam talian.

"Selain itu, dengan program DesaMall@KPLB ini juga, kementerian membantu usahawan luar bandar menambahbaik mutu dan kualiti produk untuk kesediaan berniaga dalam talian secara amnya," katanya dalam temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Menurutnya, program DesaMall@KPLB mula diperkenalkan pada 2017, ketika itu KPLB hanya bekerjasama dengan satu platform e-dagang iaitu PrestoMall (dulunya dikenali sebagai 11Street).

Bagaimanapun, katanya, bermula Jun 2018, program DesaMall@KPLB ini mula berkembang dan memasarkan produk usahawan luar bandar dalam beberapa platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan eBay.

"Kini program DesaMall@KPLB turut memasarkan produk usahawan luar bandar di platform e-dagang yang lain seperti GrabMart, Foodpanda, Wow Shop dan YouBeli," katanya.

Mengulas mengenai bagaimana DesaMall@KPLB dapat membantu usahawan luar bandar beliau berkata, program itu menjadi pendorong untuk mereka beralih dari cara perniagaan tradisional kepada memasarkan produk secara dalam talian melalui platform digital sekali gus merakyatkan ekonomi digital.

Katanya, penyertaan ke dalam program ini akan membantu usahawan luar bandar untuk fokus kepada pembuatan produk dan penyediaan perkhidmatan manakala usaha pemasaran dalam talian dan luar talian akan dibantu oleh KPLB menerusi strategi pemasaran yang dirangka bersama syarikat pentadbir DesaMall@KPLB.

"Program DesaMall@KPLB ini antara cara kita membantu usahawan luar bandar terutama semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

"Oleh itu, DesaMall@KPLB yang diperkenalkan ini tepat pada masanya kerana dengan sendirinya, ia dapat mempercepatkan lagi penerimaan orang ramai terhadap perniagaan secara dalam talian.

"Masyarakat juga mudah menerima DesaMall@KPLB ini sebagai platform mendapatkan produk desa yang diinginkan," katanya.

Che Murad berkata, dengan program DesaMall@KPLB ini, pihak KPLB akan mempelawa usahawan menyertainya dan membantu memberikan latihan sewajarnya.

"Sebenarnya, ramai usahawan luar bandar yang tidak tahu bagaimana proses atau kaedah penjualan dan pemasaran secara dalam talian ini dan kebanyakan mereka lebih kepada perniagaan konvensional.

"Jadi, dalam modul latihan program DesaMall@KPLB, ia merangkumi kaedah penjualan serta pemasaran produk dan perkhidmatan secara dalam talian, teknik copy-writing, promosi, pembayaran melalui payment gateway dan teknik mengambil gambar produk dengan baik dan kemahiran lain berkaitan perniagaan secara dalam talian.

"Usahawan luar bandar juga akan dibimbing menentukan harga produk yang bersesuaian apabila produk dipasarkan secara dalam talian dengan mengambil kira kos pembuatan, logistik dan juga caj penyedia dan pentadbir platform e-dagang," katanya.

CHE Murad. FOTO Amirudin Sahib
CHE Murad. FOTO Amirudin Sahib

Melalui program ini, usahawan luar bandar hanya perlu menumpukan perhatian kepada penghasilan produk bagi memenuhi pesanan pelanggan serta penambahbaikan produk manakala urusan lain seperti menguruskan pesanan, penghantaran produk kepada pembeli dan urusan pembayaran oleh pembeli diuruskan oleh pentadbir program DesaMall@KPLB iaitu syarikat eLokal Sdn Bhd," katanya.

Syarikat eLokal Sdn Bhd adalah syarikat e-commerce enabler yang berperanan sebagai pentadbir DesaMall@KPLB dan bertanggungjawab menguruskan stok usahawan DesaMall@KPLB menerusi sistem StoreHub yang diguna pakai di Gudang DesaMall@KPLB.

eLokal Sdn Bhd juga bertanggungjawab menerima pesanan pelanggan, penghantaran produk kepada pembeli, urusan pembayaran oleh pembeli selain menguruskan sebarang pertanyaan daripada pembeli berkenaan produk yang dipasarkan.

Dengan bimbingan dan persetujuan KPLB, syarikat eLokal Sdn Bhd turut bertanggungjawab merangka pelan pemasaran produk dan perkhidmatan usahawan DesaMall@KPLB untuk meningkatkan lagi visibility produk usahawan DesaMall@KPLB.

Ditanya adakah program ini hanya mengutamakan pemasaran produk usahawan luar bandar secara dalam talian sahaja atau pihaknya mempunyai perancangan lain, Che Murad berkata, objektif utama pelaksanaan program itu untuk memasarkan produk usahawan secara dalam talian.

Namun begitu, kata Che Murad perancangan perluasan program DesaMall@KPLB yang sudah dipersetujui oleh Pengurusan Tertinggi KPLB akan membabitkan pewujudan, pembukaan stor konsep, stor mini yang akan dikenali sebagai hub runcit bagi memasarkan produk usahawan luar bandar secara fizikal.

"Stor konsep atau stor mini akan menggunakan konsep pemasaran secara O2O (Online to Offline)," katanya.

DesaMall@KPLB kini mempunyai stor konsep di beberapa lokasi iaitu di Mersing, Johor, Gudang di Bukit Jelutong dan terbaru di Lipis, Pahang.

Sebagai rekod, hasil jualan terkumpul DesaMall@KPLB sejak 2018 hingga hari ini adalah sebanyak RM2.05 juta dan pada Mac tahun ini saja adalah sebanyak RM116,000 dengan 2,362 produk dari lebih 2000 usahawan yang sudah sertai DesaMall@KPLB.

Selain itu, antara pencapaian yang memberi impak kepada program DesaMall@KPLB ini adalah pelancaran kedai rasmi DesaMall@KPLB di platform e-dagang Shopee dan Lazada pada 20 Oktober 2019.

Bagi usahawan luar bandar yang ingin menyertai program DesaMall@KPLB ini kata Che Murad, kriteria utama ditetapkan KPLB adalah perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Selain itu, mereka juga perlu mempunyai produk keluaran sendiri atau perkhidmatan yang ditawarkan dilaksanakan sendiri.

"Adalah digalakkan usahawan luar bandar sudah memulakan perusahaan atau perniagaan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan sebelum menyertai program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 10:31 AM