ABDUL Rahman (dua dari kanan) melihat produk usahawan luar bandar yang dipasarkan di  DesaMall@Lipis selepas perasmian, baru-baru ini.
ABDUL Rahman (dua dari kanan) melihat produk usahawan luar bandar yang dipasarkan di DesaMall@Lipis selepas perasmian, baru-baru ini.
Roselan Ab Malek

Lipis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuka 14 buah DesaMall@KPLB di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang bagi memperkasa produk luar bandar ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, buat masa ini sudah terdapat DesaMall@Mersing di Johor; DesaMall@Lipis di Pahang dan gudang DesaMall@KPLB di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

"Selepas ini kita akan kembangkan konsep DesaMall@KPLB ini dengan membuka DesaMall@Lawas, di Sarawak dan DesaMall@Ipoh di Perak dalam masa terdekat.

"Kita bercadang membuka sekurang-kurangnya sebuah DesaMall@KPLB di setiap negeri pada masa akan datang bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang," katanya.

Abdul Rahman berkata, sehingga kini terdapat 2,162 usahawan luar bandar yang memanfaatkan program DesaMall@KPLB sebagai platform memasarkan produk dan perkhidmatan secara dalam talian.

"Sejak dilancarkan pada akhir tahun 2017 sehingga 31 Mac 2021, DesaMall@KPLB mencatatkan jumlah jualan usahawan luar bandar berjumlah RM2.05 juta dengan 2,362 produk dan 24,537 unit simpanan stok barangan.

"KPLB akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak swasta bagi membolehkan pelbagai kerjasama strategik dirangka pada masa hadapan seterusnya memberikan manfaat kepada usahawan kecil," katanya.

ABDUL Rahman ketika merasmikan DesaMall@Lipis, baru-baru ini.
ABDUL Rahman ketika merasmikan DesaMall@Lipis, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan DesaMall@Lipis di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Katanya, KPLB menyasarkan memperluaskan pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar melalui platform e-Dagang, sekali gus meningkatkan hasil jualan mereka kepada 10 peratus hingga 30 peratus setahun melalui perniagaan dan pemasaran dalam talian.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, keutamaan kerajaan pada masa kini adalah membuka lebih banyak peluang dalam bidang keusahawanan secara dalam talian selain mewujudkan peluang pekerjaan dan pasaran baharu bagi membantu rakyat terutama menghadapi cabaran pasca pandemik Covid-19.

SEBAHAGIAN pengunjung DesaMall@Lipis.
SEBAHAGIAN pengunjung DesaMall@Lipis.

Katanya, pelbagai inisiatif dirangka oleh kerajaan bagi membantu rakyat terutama masyarakat luar bandar untuk mengharungi situasi ekonomi yang semakin mencabar.

"Selari dengan norma baharu, KPLB memulakan perluasan program Desa Mall yang menyaksikan kerjasama strategik menerusi syarikat pentadbir, eLokal Sdn. Bhd.

"Langkah ini dalam usaha mempromosi dan memacu penerimaan e-Dagang bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian bagi memenuhi permintaan secara dalam talian yang semakin meningkat," katanya.

DESAMall@Lipis bantu usahawan sekitar pasarkan produk.
DESAMall@Lipis bantu usahawan sekitar pasarkan produk.

Abdul Rahman berkata, melalui program DesaMall @KPLB ini usahawan luar bandar hanya perlu menumpukan perhatian kepada penghasilan produk bagi memenuhi pesanan serta penambahbaikan produk.

Manakala urusan lain, katanya, seperti menguruskan pesanan, penghantaran produk kepada pembeli dan urusan pembayaran oleh pembeli diuruskan oleh pentadbir program DesaMall@KPLB iaitu syarikat eLokal Sdn Bhd.

ANEKA produk keluaran usahawan luar bandar di DesaMall@Lipis.
ANEKA produk keluaran usahawan luar bandar di DesaMall@Lipis.

Mengulas mengenai Desa Mall@Lipis, beliau berkata, ia membabitkan kerjasama agensi di bawah KPLB, agensi kerajaan seperti Majlis Daerah Lipis (MDL), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Pahang dan eLokal Sdn Bhd selaku syarikat pentadbir DesaMall@Lipis.

Katanya, prestasi jualan setiap usahawan di bawah program DesaMall@KPLB dipantau menggunakan sistem aplikasi dibangunkan khusus untuk program ini.

"Sistem aplikasi ini mampu menjejaki jualan setiap produk serta menjana laporan berkaitan nilai jualan terkumpul, produk terlaris serta produk yang kurang mendapat sambutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 9:35 AM