Muhaamad Hafis Nawawi


Shah Alam: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil inisiatif mewujudkan Program Desa Mall@KPLB dalam usaha membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang yang sudah mencatatkan jualan RM1.93 juta.

Menterinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, program ini sudah dibangunkan sejak tiga tahun lalu dan ia semakin mendapat sambutan pembeli dengan kerjasama syarikat eLokal Sdn Bhd.

Menurutnya, setakat ini sudah ada 14 Desa Mall@KPLB dan mungkin akan dikembangkan lagi dengan sasaran setahun lima Desa Mall@KPLB diwujudkan.

"Setakat ini setiap bulan jualan secara dalam talian sekitar RM100,000 sebulan namun jika ada program seperti karnival boleh mencecah jualan RM15 juta dalam tempoh tiga ke empat hari.

"Syarikat eLokal Sdn Bhd juga melaksanakan penyewaan sebuah lori daripada pihak Felcra yang bakal digunakan untuk promosi seperti penyertaan dalam program keusahawanan dan untuk pengambilan serta penghantaran stok produk DesaMall@KPLB," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Gudang DesaMall@KPLB dan DesaMall@Onthego di Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Abd Latiff berkata, perancangan masa depan kemungkinan program ini akan mewujudkan rangkaian kedai seperti 7eleven dan memasarkan produk usahawan luar bandar.

"Mulai Jun 2018, KPLB mula memasarkan produk usahawan DesaMall@KPLB dalam beberapa platform e-Dagang seperti Lazada, Shoppee dan eBay.

"Sistem aplikasi ini mampu menjejaki jualan setiap produk serta menjana laporan berkaitan nilai jualan terkumpul, produk terlaris serta produk yang kurang mendapat sambutan," katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan membolehkan isu dihadapi oleh usahawan DesaMall@KPLB dikenal pasti dan tindakan penambahbaikan boleh dilaksanakan.

Dr Abd Latiff (dua dari kiri) melihat cara produk yang dibungkus untuk penghantaran kepada pelangan selepas merasmikan Gudang Desamall@KPLB dan DesaMall @ OnTheGo di Bukit Jelutong. FOTO BERNAMA
Dr Abd Latiff (dua dari kiri) melihat cara produk yang dibungkus untuk penghantaran kepada pelangan selepas merasmikan Gudang Desamall@KPLB dan DesaMall @ OnTheGo di Bukit Jelutong. FOTO BERNAMA

Sehingga kini, seramai 2,000 usahawan luar bandar memanfaatkan program ini sebagai platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan dihasilkan mereka secara dalam talian.

Sejak dilancarkan pada 2017 sehingga 28 Februari lalu, ia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM1.93 juta dengan 2,233 produk dipasarkan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:53 PM