GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan lelaki mabuk memukul isterinya dan anak kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Tasik Permai, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis, Khamis lalu.

Kejadian berlaku pada 11.15 tengah malam Rabu lalu, apabila wanita berusia 51 tahun yang sedang tidur dipukul suaminya yang baru pulang dalam keadaan mabuk.

Malah anak perempuannya yang juga OKU lembam turut ditendang.

Suspek turut mengugut ingin membunuh mangsa dengan pisau.

Bimbang dengan keselamatan diri mangsa kemudian meminta bantuan anak sulungnya dan tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang, Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan laporan itu anggota kereta Peronda (MPV) IPD Ampang Jaya, menangkap suspek Khamis lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan suspek memiliki 13 rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 12:29 PM