Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan bersama sepucuk pistol dan pelbagai senjata tajam di Taman Desa Bukit Ilmu, Kampung Air Belaga (B), Ulu Sat, Machang, pada Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada jam 11.50 malam itu, sepasukan anggota Cawangan Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan melakukan serbuan ke rumah suspek.

Katanya, pintu hadapan terpaksa dipecahkan untuk membolehkan pasukan serbuan masuk melakukan pemeriksaan.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, polis mendapati suspek berada di katil dan berlaku pergelutan semasa tangkapan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai barangan menyalahi undang-undang seperti sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria, sebiji peluru, empat peluru hidup dalam kelopak, dua bilah keris kecil, sembilan bilah pedang dan sebilah parang berhulu kayu.

"Selain itu, polis menjumpai plastik lutsinar mengandungi 165 biji pil warna kemerahan, satu straw berwarna merah jambu berisi serbuk warna putih serta empat papan aluminium foil yang mengandungi 20 biji pil warna putih bagi setiap papan disyaki dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek yang juga berasal dari Gua Musang mempunyai enam rekod jenayah dan empat rekod berkait dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 16 hingga 29 Ogos bagi membantu siasatan berhubung rampasan senjata api, senjata berbahaya dan juga memiliki dadah," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8a Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Selain itu, ia juga disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(3) ADB 1952," katanya.

MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 5:06 PM