WAN Rosdy (tengah) menyampaikan enjin pam air kepada wakil peserta Orang Asli yang menyertai Program 'Buy Back Guarantee'  Tapak Semaian Tasik Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat
WAN Rosdy (tengah) menyampaikan enjin pam air kepada wakil peserta Orang Asli yang menyertai Program 'Buy Back Guarantee' Tapak Semaian Tasik Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Kerajaan negeri berpuas hati dengan usaha Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memulih dan memelihara kawasan bekas lombong di Tasik Chini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kini hampir 80 peratus kawasan bekas lombong di Tasik Chini ditanam dengan pokok penutup bumi selain beberapa spesies pokok balak.

Katanya, kerja menanam pokok penutup bumi yang dimulakan Ogos lalu kini menampakkan hasil apabila kawasan itu sudah mula hijau.

"Usaha menanam pokok penutup bumi dan balak kini terus dilakukan secara berterusan oleh JPNP. Kepakaran yang ada pada JPNP dapat memulihkan kawasan bekas lombong di Tasik Chini.

"Saya berpuas hati dengan usaha bersungguh-sungguh dilakukan JPNP, dalam tempoh masa ditetapkan mereka telah berjaya menjalankan tanggungjawab diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek memulih dan pemeliharaan Tasik Chini serta penyampaian sijil penyertaan kepada Orang Asli yang menyertai Program 'Buy Back Guarantee' Tapak Semaian Tasik Chini, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Mengenai program 'Buy Back Guarantee' yang diusahakan JPNP, Wan Rosdy berkata, projek berkenaan dapat membantu masyarakat Orang Asli tempatan menambah pendapatan dengan penyediaan benih pokok balak yang kemudian dijual untuk ditanam semula di kawasan Tasik Chini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:11 AM