SAMSU Anuar (baju merah)
SAMSU Anuar (baju merah)
Mohd Rafi Mamat

PEJABAT Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran mengesan penerokaan secara haram di tanah seluas 40 hektar dalam Hutan Simpan Berkelah, hari ini.

Pegawai Hutan Daerah, Ismail Ali Kamarudeen berkata, siasatan mendapati kegiatan meneroka Kompartment 141 Hutan Simpan Berkelah itu didalangi pihak tertentu yang bertindak menjual kepada beberapa individu lain.

Menurutnya, difahamkan setiap lot tanah seluas dua hektar dijual dengan harga RM15,000 dan tanah terbabit perlu diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

Projek berskala besar itu dilakukan secara berperingkat bagi mengaburi pihak berkuasa terutama Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

"Namun hasil aduan orang awam, kita berjaya mengesan kegiatan ini yang dianggap terbesar pernah berlaku di daerah ini.

"Turut disita jentolak dan lori yang digunakan membersih kawasan terbabit termasuk membina teres," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi yang melawat kawasan pencerobohan dalam Operasi Tebas, hari ini.

Katanya, pihaknya yakin dalang pencerobohan Hutan Simpan Berkelah untuk projek pertanian itu meraih keuntungan lumayan hasil jualan lot tanah.

KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok kelapa sawit
KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok kelapa sawit

Ismail berkata, difahamkan penduduk Kampung Luit tidak menduga pencerobohan itu kerana berselindung dengan aktiviti perlombongan berlesen yang diusahakan berhampiran.

Katanya, pencerobohan berskala besar itu bukan sahaja merosakkan Hutan Simpan Berkelah tetapi mengundang berlakunya pencemaran Taman Eko Rimba (TER) Berkelah yang menjadi antara produk pelancongan terkenal di daerah ini.

"Kita akan berusaha mengesan dalang dan mengheret mereka ke muka pengadilan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Hanya tindakan tegas sahaja dapat mengajar pihak terbabit berikutan tindakan dilakukan yang hanya mengejar keuntungan," katanya.

Sementara itu Samsu Anuar berkata, pihaknya memandang serius pencerobohan hutan simpan itu.

"Kawasan yang diceroboh ini akan ditanam dengan pelbagai spesis pokok balak bagi memulih kerosakan yang dilakukan pihak terbabit.

"Saya sudah mengarahkan pegawai Bahagian Pembangunan JPNP untuk segera mengadakan program menanam pokok balak yang dilakukan secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 5:04 PM