FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Mohd Rafi Mamat

SEBANYAK 20 kes cubaan memindahkan balak dan empat kes melombong emas secara haram dipatahkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac hingga hari ini.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kes berkenaan berlaku di lima daerah iaitu Rompin (3 kes), Temerloh (3), Lipis (3), Raub (4) dan Kuantan (7).

Beliau berkata, kes melombong emas secara haram berlaku masing-masing dua kes di Rompin dan Lipis.

"Kejayaan menyekat kegiatan haram itu hasil usaha bersungguh-sungguh anggota Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) yang dibantu sepenuhnya Unit Penguatkuasa JPNP yang bertugas sepanjang PKP dan PKPB.

"Saya berpuas hati dengan kesungguhan dan komitmen tinggi diberikan anggota unit penguatkuasaan yang melakukan tugas siang malam, sokongan pegawai hutan daerah turut dapat melancarkan lagi setiap operasi dilakukan," katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau menambah, kegiatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan untuk projek pertanian turut berlaku membabitkan Hutan Simpan Jengka, Maran.

Menurutnya, kegiatan memindahkan tual balak turut dikesan berlaku dalam Hutan Simpan Chini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 9:18 PM