Gambar hiasan
Gambar hiasan
Aizat Sharif


Kangar: Cemas dengan panggilan daripada seorang 'pegawai bank' yang mendakwa terdapat penggunaan kad kredit secara tidak sah, pesara jurubahasa mahkamah berputih mata selepas kerugian RM26,000 apabila terpedaya sindiket Macau Scam dalam kejadian dilaporkan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa yang juga seorang wanita berusia 60 tahun mendakwa menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan berlaku transaksi penggunaan wang menerusi kad kredit bank milik mangsa ke sistem e-wallet pembelian dalam talian.

"Dalam pesanan SMS itu juga, terdapat nombor talian 03-2714 6103 yang harus dihubungi mangsa untuk bercakap dengan individu yang menyamar sebagai 'pegawai bank'. Tanpa berfikir panjang, mangsa menghubungi nombor telefon berkenaan untuk menafikan memiliki kad kredit bank seperti didakwa.

"Mangsa kemudian diminta menyerahkan nama log masuk atau ID dan kata laluan perbankan dalam talian kepada 'pegawai bank' itu untuk semakan.

"Bagi meyakinkan mangsa, suspek menyatakan bahawa akaun bank mangsa didakwa sedang digodam individu tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, mangsa yang percaya dengan dakwaan suspek menyerahkan maklumat perbankan miliknya sebelum berlaku pindahan wang tanpa disedarinya.

"Mangsa menyedari ditipu selepas wang sebanyak RM26,000 miliknya dipindah keluar dari akaun. Dia membuat laporan polis di Balai Polis Kangar jam 12 tengah hari dan satu kertas siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 3:59 PM