Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis mengesan satu modus operandi baharu dilakukan sindiket yang menggodam akaun bank bagi 'merompak' wang mangsa menerusi fail Kit Pakej Android (APK) membabitkan kerugian RM58,844.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima lima laporan berkaitan kes itu membabitkan tiga laporan di Johor dan masing-masing satu laporan di Pulau Pinang serta Sabah sejak dua minggu lalu.

"Siasatan awal dilakukan mendapati sindiket itu menggunakan Facebook untuk mengiklankan penjualan barang dan perkhidmatan saluran televisyen dengan tawaran iklan akan sentiasa diubah suai bagi menjerat lebih ramai mangsa.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu akan menghubungi sindiket melalui aplikasi WhatsApp. Apabila mereka bersetuju dengan tawaran dibuat, mangsa akan diberi pautan fail APK dan diarah memuat turun aplikasi itu di telefon pintar mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, sebaik dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sedia ada pada telefon mangsa.

"Mereka akan diarahkan untuk mendaftar dengan aplikasi itu dengan memasukkan butiran peribadi sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi berkenaan.

"Antara maklumat diperlukan untuk pendaftaran termasuk nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan perbankan dalam talian," katanya.

Beliau berkata, terdapat paparan kesilapan muka surat atau 'page error' ditunjukkan selepas semua maklumat dimasukkan sebelum mangsa menekan butang hantar kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

MOHD Kamarudin menunjukkan aplikasi yang digunakan sindiket penipuan jenayah dalam talian ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman. FOTO Eizairi Shamsudin
MOHD Kamarudin menunjukkan aplikasi yang digunakan sindiket penipuan jenayah dalam talian ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman. FOTO Eizairi Shamsudin

"Sebenarnya, aplikasi dan proses 'pendaftaran' yang dibuat itu hanya semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan mangsa yang akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mereka.

"Mangsa hanya menyedari perkara itu apabila wang di dalam akaun bank berkurangan, namun mereka tidak mengetahui punca ia berlaku.

"Kami percaya suspek yang terbabit dalam kes ini berada di dalam negara dan berdasarkan siasatan dilakukan mendapati sindiket berkenaan menggunakan akaun keldai untuk memindahkan wang dari akaun mangsa," katanya.

Melihat kepada betapa liciknya helah sindiket berkenaan, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap orang ramai dalam menjaga keselamatan akaun daripada digodam.

"Kita perlu ingat bahawa kawalan keselamatan akaun bank hanya ada dua iaitu ID pengguna serta kata laluan dan nombor TAC yang diberikan pihak bank.

"Jika kedua-dua itu terdedah, mana-mana pihak lain boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan wang kita di dalam akaun bank tanpa kebenaran.

"Orang ramai diminta supaya tidak mendedahkan maklumat melalui aplikasi tidak diiktiraf yang dihantar melalui pautan oleh individu tidak dikenali kerana ia boleh menyebabkan butiran kita terdedah," katanya.

Katanya, sebarang keraguan, nasihat mahupun penyaluran maklumat berkaitan jenayah komersial boleh dibuat dengan menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/03-26101599.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 2:17 PM