Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dikesan kembali menggunakan taktik penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) bersama pautan untuk menjerat mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 18 kes dilapor membabitkan kerugian RM229,868 sejak 1 Januari sehingga 17 April lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom dan Digi.

"Kandungan SMS itu menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran melalui pautan disertakan.

"Mangsa yang menekan pautan itu akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan atas talian milik mereka, termasuklah kata laluan satu kali (OTP).

"Mangsa kemudian mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

RAMLI Mohamed Yoosuf (kiri) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan terhadap sindiket penipuan atas talian. FOTO Hairul Anuar Rahim.
RAMLI Mohamed Yoosuf (kiri) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan terhadap sindiket penipuan atas talian. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Ramli berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati sindiket kembali aktif menggunakan taktik berkenaan sejak dua minggu lalu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan mendapatkan pengesahan daripada syarikat berkaitan sekiranya menerima SMS meragukan.

"Sepatutnya mesej dengan pautan tidak boleh lagi dihantar melalui SMS. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak sesekali berkongsi maklumat perbankan serta nombor OTP dengan mana-mana pihak tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:31 PM