FONG CHOONG FOOK
FONG CHOONG FOOK
Nabil Basaruddin


SUBANG JAYA: Platform perbankan dalam talian di Malaysia kekal selamat digunakan dan turut menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada institusi kewangan serta perbankan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas LE Global Services Sdn Bhd (LGMS), Fong Choong Fook berkata, semua institusi kewangan, perbankan dan insurans tertakluk kepada ketetapan piawaian oleh BNM iaitu mesti melaksanakan ujian keselamatan siber sekurang-kurangya sekali setahun.

Beliau berkata, bagaimanapun menyedari kepentingan pelanggan dan orang ramai maka kebanyakan bank menjalankan ujian sekurang-kurangnya sekali bagi setiap bulan sebagai langkah berjaga-jaga dalam berdepan dengan penjenayah siber.

“Ada juga bank yang mempunyai standard tertentu dalam hal ini seperti melakukan ujian pada setiap minggu bagi menepis pelbagai serangan dari dunia siber, demi menjaga kepentingan dan hak pelanggan mereka.

Menurutnya, LGMS yang turut mengendalikan Asia Cybersecurity Exchange juga bertindak sebagai pusat ujian sebelum bank melancarkan platform mahupun ciri baru bagi segmen perbankan atas talian.

“Dengan langkah yang diambil oleh pihak bank, perbankan dalam talian di Malaysia masih selamat berbanding luar talian seperti kad kredit dan debit yang mana ia berada di luar kawalan bank.

“Melalui sistem dalam talian, pihak bank dapat mengenalpasti apa saja yang berlaku dan menghentikannya. Berbeza pula dengan kad kerana ia dalam kawalan pengguna,” katanya dalam satu temu bual bersama media di sini.

Minggu lalu, tular di media sosial mengenai perkongsian terdapat masalah keselamatan membabitkan portal perbankan satu bank tempatan.

Menerusi perkongsian itu, dinyatakan bahawa ada pengguna menjadi mangsa penggodam selepas mendapati wang di dalam akaun berkurangan dan mula menerima sistem pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan berlakunya transaksi pengeluaran wang melalui gerbang pembayaran iaitu PayPal.

Fong berkata, orang ramai khususnya pengguna portal perbankan atas talian dinasihatkan untuk tidak menjadi panik dan mudah terpengaruh dengan sebarang isu yang dikongsi di laman sosial tanpa sumber yang sah.

Menurutnya, sekiranya terjadi insiden seumpama itu maka mereka dinasihatkan untuk terus membuat laporan kepada bank terbabit bagi tindakan seterusnya.

“Tidak perlu panik, tetapi apa yang perlu dilakukan adalah terus menghubungi bank dan melaporkan perkara ini bagi tindakan serta siasatan oleh pihak bank,” mkatanya.

Tambahnya, apa yang perlu menjadi kebimbangan adalah untuk menjaga kad kredit dan kad debit supaya maklumat seperti nombor kad tidak diketahui oleh pihak lain tanpa disedari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 2:03 PM