RAKAMAN yang tular di laman sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di laman sosial. FOTO tular
Ahmad Hasbi


Port Dickson: Polis menahan lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas di Kilometer 5, Jalan Seremban- Port Dickson, di sini, malam kelmarin.

Video kejadian jam 10.50 malam itu tular di laman sosial memaparkan orang ramai mengerumuni Proton Iswara berwarna kuning dipercayai pemandunya masih berada di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berumur 21 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, pada hari sama.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Rabu, yang mana pemandu Proton Iswara itu dalam perjalanan dari arah Lukut menghala ke Port Dickson.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandunya hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah motosikal jenis SYM yang ditunggang lelaki berusia 68 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, warga emas berkenaan mengalami kecederaan parah di badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson kira-kira jam 9 pagi Khamis.

"Suspek ditahan dan sampel darah sudah diambil untuk ujian toksikologi kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video atau memuat naik sebarang spekulasi di laman sosial mengenai kejadian itu kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Pada Khamis, tular video berdurasi 45 saat memaparkan kekecohan berlaku dipercayai akibat kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang individu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 12:43 PM