GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan pemandu Ford Ranger kerana memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan pertembungan tiga kenderaan di Kilometer 26 Lebuhraya Seremban - Port Dickson arah Port Dickson, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan itu membabitkan Ford Ranger, Toyota Vios dan Proton Saga. Pemandu serta dua penumpang Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan namun pemandu Proton Saga patah paha dan kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Ford Ranger memandu secara melawan arus dari Port Dickson ke Seremban manakala dua lagi kenderaan dari arah bertentangan.

"Pemandu Ford Ranger itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dibawa ke Balai Trafik Port Dickson manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Port Dickson," katanya.

Aidi Sham berkata, pemandu Ford Ranger direman selama dua hari untuk membantu siasatan polis.

"Jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) iaitu memandu dalam pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan pada pihak lain.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda antara RM3,000 hingga RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama tujuh tahun," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 9:57 PM