Zuliaty Zulkiffli

Sik: Lelaki dikhuatiri lemas dan rakannya ditemukan selamat selepas terjatuh ke dalam tasik ketika menangkap ikan di Tasik Gubir di sini, hari ini.

Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Othman Abdul Ghani, 49, manakala mangsa yang selamat adalah Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.07 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dan Sungai Petani yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra turut diarahkan ke lokasi untuk membantu operasi SAR.

"Pihak kami dimaklumkan terdapat dua orang mangsa yang mana seorang darinya selamat dan membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mereka dikatakan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi kesulitan berikutan kesukaran mendapat liputan komunikasi di lokasi itu.

"Setakat ini, tindakan yang dilakukan pasukan bomba adalah menjalankan pencarian di permukaan air dengan bantuan tiga buah bot milik orang awam.

"Operasi pencarian masih dilakukan ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 4:25 PM