KAWASAN pencarian mangsa berhampiran jeti Pengkalan Segantang Garam. FOTO Ihsan JBPM
KAWASAN pencarian mangsa berhampiran jeti Pengkalan Segantang Garam. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok, di sini.

Kejadian disedari orang awam selepas ternampak mangsa, Zulkifli Mohamad, 50-an terjatuh di lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Berikutan itu, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu tiba di lokasi hari ini memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu 7.44 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani tiba di lokasi jam 8.05 pagi.

"Operasi disertai 10 anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Puat Ghazali dan empat anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani serta dua jentera.

"Operasi turut dibantu pasukan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya menerima maklumat mangsa dipercayai jatuh di muara sungai berkenaan dan maklumat awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sejak tengahari semalam (Jumaat).

Beliau berkata, setakat ini operasi di pencarian di permukaan air sedang dilakukan sementara menunggu ketibaan anggota PPDA ke lokasi kejadian untuk pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 10:51 AM