Jalan Temiang-Pantai. FOTO Azrul Edham
Jalan Temiang-Pantai. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Lokasi mendapat jolokan 'New Zealand Malaysia' di Jalan Temiang - Pantai di sini, sudah meragut dua nyawa membabitkan penunggang motosikal dan basikal setakat ini.

Berikutan itu polis menjadikan lokasi itu sebagai salah satu sektor rondaan khusus berikutan laluan terbabit masih menjadi tumpuan orang awam berhenti untuk bergambar.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pelaksanaan rondaan khas itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain menasihatkan orang awam yang berhenti supaya mematuhi peraturan jalan raya.

"Laluan yang mendapat jolokan New Zealand itu menarik perhatian orang ramai untuk berhenti dan bergambar serta beriadah.

"Sebagai langkah keselamatan, polis menjadikan jalan berkenaan sebagai sektor rondaan khusus terutama pada waktu siang. Polis akan membuat rondaan sekurang-kurangnya dua shif sehari," katanya selepas melakukan pemeriksaan kawalan hormat pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, tadi.

Beliau berkata, rondaan membabitkan 173 anggota trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dan Seremban memandangkan laluan itu di bawah kawasan pentadbiran kedua-dua IPD selain turut dibantu anggota dari IPK sendiri.

Ruslan berkata, sehingga kini berlaku dua kemalangan maut di laluan persekutuan itu membabitkan penunggang motosikal dan basikal.

"Dari 8 hingga 20 Jun lalu, kami melaksanakan Op Nasihat. Sebanyak 43 rondaan berkala dilaksanakan dengan seramai 210 individu diberikan nasihat keselamatan di lokasi itu.

"Bagaimanapun, masih terdapat orang awam yang degil meskipun sudah diberikan nasihat dan kami terpaksa mengeluarkan saman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 3:53 PM