DATUK Mohamad Mat Yusop pada sidang media Op Selamat  sempena perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DATUK Mohamad Mat Yusop pada sidang media Op Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebanyak 48 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan terhadap pengguna jalan raya yang sengaja meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di laluan Temiang- Pantai, di sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, saman itu dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang sengaja berhenti untuk merakam gambar atau `makan angin' di lokasi mendapat jolokan 'New Zealand' Malaysia itu.

"Hendak ambil gambar tidak jadi masalah tetapi jangan sampai meletak kenderaan di bahu jalan dan lorong kecemasan sehingga mengganggu kelancaran trafik serta mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan.

"Buat masa ini kami lebih mengutamakan advokasi dengan memberikan nasihat kepada pengguna jalan raya yang berhenti dan bergambar di kawasan berkenaan supaya mematuhi undang-undang jalan raya.

"Jika mahu berhenti dan bergambar saya rasa boleh meletakkan kenderaan di kawasan berumput dan bukannya di lorong kecemasan yang boleh mengganggu lalu lintas," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Beliau berkata, aktiviti berjoging dan berbasikal juga dibenarkan selagi ia tidak berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain serta tidak melanggar peraturan jalan raya.

"Kami sendiri tidak menjangkakan ia akan menjadi tarikan seumpama ini. Kerajaan negeri sudah ke lokasi dan melihat keadaannya dan diharapkan ada usaha dilakukan agensi tertentu untuk menyelesaikan isu ini.

Sebelum ini tular di laman sosial beberapa gambar yang menunjukkan sekumpulan individu daripada kelab kereta yang meletakkan kira-kira 30 kereta dan berkumpul di lorong kecemasan di laluan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 3:57 PM