ANTARA gambar yang tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang- Pantai. FOTO Ihsan pembaca.
ANTARA gambar yang tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang- Pantai. FOTO Ihsan pembaca.
Ahmad Hasbi


Seremban: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperketatkan pemantauan di laluan Temiang-Pantai, dekat sini, yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk bergambar sempena musim cuti dan hari minggu.

Dijangkakan lebih ramai pengunjung akan ke lokasi berkenaan sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina dan hari minggu ini selepas lokasi berkenaan tular kerana pemandangannya yang mendapatkan jolokan 'New Zealand' Malaysia.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pemantauan bertujuan memastikan tiada pengguna berhenti di lorong kecemasan dan bergambar lebih-lebih lagi dalam jumlah kenderaan yang banyak.

"Sebelum ini tular di media sosial berkaitan sekumpulan pemandu kenderaan berkumpul dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di kedua-dua arah di lokasi berkenaan untuk bergambar.

"Tindakan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain yang mungkin panik kerana secara tiba-tiba terdapat banyak kenderaan berhenti di bahu jalan dan berkemungkinan besar mengganggu kelancaran trafik," katanya.

Beliau berkata, tindakan pemandu yang berhenti di lorong kecemasan tanpa alasan yang munasabah adalah satu kesalahan.

"Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali kes kecemasan.

"Bagi kesalahan itu, denda boleh dikenakan kepada pemandu tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Hanif Yusabara berkata, JPJ menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya supaya tidak menimbulkan kesukaran dan membahayakan pengguna lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 1:58 PM