PANDAN Leman (kanan) bersama anak dan isteri meninjau keadaan rumah yang hangus terbakar di Kampung Kerinting, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
PANDAN Leman (kanan) bersama anak dan isteri meninjau keadaan rumah yang hangus terbakar di Kampung Kerinting, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Sepasang suami isteri mualaf buntu memikirkan nasib mereka yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa yang didiami sejak setahun di Kampung Kerinting, di sini, musnah terbakar Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, rumah yang didiami Pandan Leman, 69, bersama isteri Faridah Lanar, 43, serta dua anak, Natalia Veronie, 21, dan Nor Fifi Adlynna , 11, musnah.

Pandan berkata, mereka kini terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Kini saya buntu memikirkan nasib keluarga selepas rumah sewa kami terbakar. Dengan pendapatan saya sebagai pekerja ladang getah yang tidak menentu hanya cukup untuk menampung kehidupan.

"Kami tidak tahu ke mana hendak pergi dan kini tinggal bersesak bersama saudara yang mempunyai lapan ahli keluarga.

"Saya sangat berharap semoga ada yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Kerinting di sini, semalam.

Sementara itu, Faridah berkata, dia terkilan kerana tasbih dan al-Quran pemberian ustaz selepas memeluk Islam 10 tahun lalu hangus terbakar.

"Semasa kejadian saya tiada kerana mengikut suami untuk menyelesaikan urusan kerjanya dan hanya anak perempuan tinggal di rumah.

"Mengikut cerita anak, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah bilik dan api marak terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan barang-barang termasuk pakaian serta dua motosikal.

"Saya tidak sangka semua ini akan berlaku, namun tetap reda menerima ujian dari Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:49 PM