Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim

Kuala Terengganu: Pasangan warga emas hanya mampu melihat rumah pusaka lima generasi milik keluarganya musnah dalam kebakaran membabitkan 12 rumah kedai di Jalan Bandar, Kampung Cina, di sini, malam tadi.

Kwee Hon Hin, 77, bersama isteri, Chong Sek Kiau, 72, menganggarkan menanggung kerugian hampir RM100,000.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen dan terhidu bau asap sebelum dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu yang memaklumkan berlaku kebakaran.

"Dalam keadaan panik, saya dan isteri cuba mengambil dokumen dan barangan berharga namun tak sampai lima minit, bekalan elektrik pula terputus.

"Kami gagahkan diri dalam gelap itu untuk ambil barang apa yang sempat dan segera keluar.

"Memang sedih apabila hanya mampu lihat rumah terbakar, sebab itu rumah peninggalan datuk yang didiami ayah selepas datuk meninggal dunia. Kini rumah didiami saya bersama isteri, dua anak, seorang menantu dan seorang cucu," katanya ketika ditemui, hari ini.

KWEE Hon Hin bersama isteri, Chong Sek Kiau melihat rumah pusaka lima generasi milik keluarganya musnah dijilat api dalam kebakaran membabitkan 12 rumah kedai di Jalan Bandar, Kampung Cina. FOTO Ghazali Kori
KWEE Hon Hin bersama isteri, Chong Sek Kiau melihat rumah pusaka lima generasi milik keluarganya musnah dijilat api dalam kebakaran membabitkan 12 rumah kedai di Jalan Bandar, Kampung Cina. FOTO Ghazali Kori

Kwee berkata, ketika kejadian ahli keluarganya yang lain tiada di rumah dan memaklumkan kebakaran itu adalah kejadian ketiga pernah berlaku di Kampung Cina.

"Ini sebenarnya kebakaran ketiga di kawasan Kampung Cina dan kejadian ini disifatkan terburuk.

"Kejadian pertama pada 1982 membabitkan kawasan parkir manakala kebakaran pada 2010 membabitkan tokong.

"Walaupun kehilangan tempat tinggal dan menanggung kerugian, saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 1:39 PM