HABSAH menunjukkan pintu rumahnya yang diumpil penyamun.
HABSAH menunjukkan pintu rumahnya yang diumpil penyamun.

Butterworth: Malang bertimpa buat seorang ibu tunggal kerana bukan saja rumahnya musnah dalam kebakaran pada Februari lalu, malah kali ini rumah sewa pula dipecah masuk pencuri yang melarikan beberapa kampit beras serta wang tunai, kelmarin.

Habsah Saidon, 54, menyewa di Pangsapuri Titi Mukim, dekat sini, hasil bantuan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya selepas rumah didiaminya di Permatang Binjai musnah dalam kebakaran pada 8 Februari lalu.

Bagaimanapun, malang sekali lagi menimpanya apabila pencuri memecah masuk rumah sewanya ketika dia keluar ke bazar Ramadan pada jam 5 petang, kelmarin.

“Walaupun pencuri hanya sempat mengambil wang RM200, beras serta tong gas, namun saya trauma dengan kejadian itu. Trauma akibat rumah terbakar masih belum hilang dan sekarang rumah sewa pula dimasuki pencuri,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Air Tawar, di sini, kelmarin.

Habsah menyewa rumah berkenaan bersama anak lelakinya, Mohd Aidil Yahaya, 15, yang juga orang kurang upaya dan belajar di Kelas Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar, di sini.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik di Kepala Batas turut buntu memikirkan masa depan berikutan kontrak pekerjaannya bakal tamat hujung bulan ini selain perlu keluar dari rumah sewa pada Ogos depan.

“Rumah sewa berkenaan hanya untuk tempoh enam bulan dan selepas itu saya perlu mencari rumah lain. Saya runsing kerana bakal kehilangan kerja dan pada masa sama memikirkan tempat tinggal.

“Saya tidak mempunyai modal untuk membina rumah baru di tapak rumah yang musnah dalam kebakaran pada Februari lalu menyebabkan kawasan sekitar mula dipenuhi semak,” katanya.

Habsah berkata, walaupun Mohd Aidil mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan, bantuan berkenaan hanya digunakan untuk tujuan pelajarannya sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 9:29 AM