KEBAKARAN berkenaan turut memusnahkan sebuah kereta dan dua biji motosikal milik keluarga berkenaan.
KEBAKARAN berkenaan turut memusnahkan sebuah kereta dan dua biji motosikal milik keluarga berkenaan.
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: “Kemeriahan Syawal buat kami sekeluarga berakhir apabila rumah didiami hangus dan kami tinggal sehelai sepinggang,” kata Ismail Yahya, 57, pemilik rumah yang musnah dalam kebakaran di Lorong 9, Kampung Melayu, Yong Peng di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Ismail memberitahu berada di tempat kerja manakala isteri dan tiga anak serta empat cucunya berada di rumah namun sempat lari menyelamatkan diri.

“Api marak dengan pantas, mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk semua dokumen penting.

“Mujur isteri, anak dan cucu sempat menyelamatkan diri tanpa kecederaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Ismail berkata, semua pakaian raya serta kuih muih untuk tetamu musnah terbakar.

“Saya dan keluarga reda dengan musibah yang menimpa kami. Saya masih bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dan tidak berlaku kehilangan nyawa,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) Ropie Subari berkata, pihak MDYP melalui Yayasan Harapan Yong Peng sudah menyediakan sebuah rumah sewa buat semua mangsa di Jalan Lama, Yong Peng di sini.

“Rumah sewa yang diberikan kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit adalah sebagai penempatan sementara selama enam bulan.

“Yayasan Harapan Yong Peng akan menanggung sepenuhnya kos sewa rumah berkenaan sebanyak RM400 sebulan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng menerima panggilan pada jam 12.07 tengah hari dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera dengan tujuh anggota.

Namun api yang marak dengan cepat menyebabkan rumah separuh kekal yang diperbuat daripada kayu itu musnah keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 10:18 AM