MOHD Rozi tiada tempat berteduh dan terpaksa tinggal di dalam kereta dan masjid berhampiran untuk berehat. FOTO NSTP
MOHD Rozi tiada tempat berteduh dan terpaksa tinggal di dalam kereta dan masjid berhampiran untuk berehat. FOTO NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


“SEJAK rumah sewa yang didiami terbakar bulan lalu, saya kini terpaksa hidup seperti gelandangan,” kata mangsa kebakaran, Mohd Rozi Saibu, 45 di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu.

Mohd Rozi berkata, dia tiada tempat lain untuk berteduh dan terpaksa tinggal di dalam kereta dan masjid berhampiran untuk berehat.

“Beberapa hari lalu, saya ada juga mencari rumah sewa di Jalan Bayam dan masih lagi menunggu keputusan tuan rumah.

“Sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya. Saya juga mengambil upah mengurut orang kampung, selain bekerja sebagai pembantu di kedai makan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Mohd Rozi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran anjuran Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

ABU Bakar melihat rumahnya yang musnah terbakar. FOTO Syamsi Suhaimi
ABU Bakar melihat rumahnya yang musnah terbakar. FOTO Syamsi Suhaimi

Terdahulu Presiden Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Datuk Seri Zukri Samat menyempurnakan sumbangan kepada tujuh keluarga yang terkesan berikutan kebakaran yang berlaku pada bulan lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kebakaran yang berlaku pada 5 Ogos lalu menyebabkan tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Seorang lagi mangsa kebakaran, Abu Bakar Ab Rahman, 63, berkata, dia amat terharu dengan sumbangan yang diterima kerana masih ada pihak prihatin nasib yang menimpa diri selepas rumahnya musnah terbakar dan terpaksa menumpang di bengkel jahitan.

“Sebelum ini saya tinggal bersama anak, menantu serta dua cucu yang berusia dua dan empat tahun di dalam bengkel ini, namun dua hari lalu mereka sudah berpindah ke rumah sewa baru di Tanjong Chat.

“Kini hanya saya seorang sahaja yang tinggal di bengkel ini sementara menunggu bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada mangsa kebakaran,” katanya.

Abu Bakar yang juga pesara guru berkata, sejak ditimpa musibah, hatinya tersentuh apabila menerima kunjungan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang sanggup mencemar duli melawat mangsa kebakaran.

“Susulan lawatan Tuanku, hari ini saya dan mangsa kebakaran lain menerima pula kunjungan Majlis Jaksa Pendamai Kelantan yang menyampaikan sumbangan kepada kami bagi meringankan beban ditanggung,” katanya.

Sementara itu, Zukri berkata, kedatangan pihaknya hari ini adalah susulan daripada titah Tuanku Sultan yang menitahkan kami untuk membantu sebanyak mungkin mangsa yang terbabit dalam kebakaran pada bulan lalu.

“Majlis Jaksa Pendamai Kelantan adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berada di bawah naungan Tuanku dan lawatan yang diadakan ini, kami menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terbabit.

“Saya amat berharap dengan sumbangan ini, dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan pada masa sama saya juga difahamkan, kerajaan negeri menjanjikan rumah PPRT di Wakaf Mek Zainab kepada mangsa kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 4:23 PM