Sisa kebakaran tiga rumah sewanya di Kampung Pandan, malam tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Sisa kebakaran tiga rumah sewanya di Kampung Pandan, malam tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SAMBUTAN Aidilfitri tidak lama lagi sudah tidak bermakna buat dua keluarga apabila rumah sewa mereka di Kampung Pandan Dua, Kuantan, hangus dalam kebakaran, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, dua rumah papan sebaris itu rentung manakala sebuah lagi musnah pada bahagian dapur dan dinding ruang tamu, selain kenderaan di parkir di garaj turut rosak.

Mangsa, Mohamad Aidil Affandey Ayub, 20, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang berehat sambil menonton televisyen sebelum kedengaran letupan dan jeritan beberapa jiran.

Menurutnya, api cepat merebak dan dalam masa lima hingga 10 minit sahaja, dua rumah musnah sepenuhnya manakala semua harta benda tidak dapat diselamatkan.

Katanya, dua rumah musnah itu disewa lelaki Cina dan warga asing Rohingya menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang apabila api cepat merebak dan usaha menyelamatkan barangan tidak dapat dilakukan.

"Kecekapan anggota bomba berjaya menyelamatkan rumah kami daripada hangus manakala kereta bapa saudara yang diparkir di garaj terbakar 10 peratus.

"Saya tinggal bersama bapa saudara seramai lapan orang, keadaan rumah tidak selamat berikutan kebakaran di bahagian dapur dan ruang tamu menyebabkan kami kini menumpang sementara di pusat pemindahan disediakan.

"Saya bersyukur kebakaran malam tadi tidak menyebabkan kecederaan dan kemalangan jiwa," katanya yang bekerja di bengkel kayu di Kampung Pandan.

Beliau berkata, Aidilfitri akan datang tidak ceria lagi buat mereka sekeluarga apabila tiada tempat berteduh dan mereka tidak mampu menyewa rumah baru berikutan mengalami kekangan kewangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, lebih malang apabila ada individu tidak bertanggungjawab melarikan telefon bimbit dan tiga kipas ketika mereka memindahkan barang selepas kemalangan.

"Ketika kami dalam kesusahan masih ada pihak mengambil kesempatan, saya berharap mereka yang mengambilnya dapat memulangkan segera," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 2:26 PM