BENGKEL GiatMARA yang dinaiki air menyebabkan seorang pelajarnya terkena renjatan elektrik ketika memegang corong peniup. FOTO Ihsan Bomba.
BENGKEL GiatMARA yang dinaiki air menyebabkan seorang pelajarnya terkena renjatan elektrik ketika memegang corong peniup. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Pelajar lelaki cedera selepas terkena renjatan elektrik di GiatMARA Sekinchan, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, mangsa berusia 19 tahun didapati tidak sedarkan diri selepas memegang corong peniup di kawasan itu yang dilanda banjir kilat.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.08 petang dan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan mendapati mangsa terkena renjatan elektrik dan ketika kejadian kawasan institusi itu dinaiki air sedalam 0.5 meter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Norazam, mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan lanjut dan anggotanya membuat pemeriksaan serta mengarahkan bekalan elektrik ditutup.

"Tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dan keadaan kembali terkawal, sebelum operasi ditamatkan pada 2.45 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 6:01 PM