Seorang lelaki warga emas (baju oren) yang dilaporkan hilang semasa mencari daun palas di kawasan kebun Parit 9 Ban Canal, sejak semalam ditemui selamat, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Seorang lelaki warga emas (baju oren) yang dilaporkan hilang semasa mencari daun palas di kawasan kebun Parit 9 Ban Canal, sejak semalam ditemui selamat, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Misteri seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang hampir 17 jam ketika keluar mencari daun palas di kawasan kebun Parit 9 Ban Canal, di sini semalam, ditemukan selamat, hari ini.

Mangsa berusia 60-an ditemui selepas datang sendiri ke pos kawalan bomba pada 2.55 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.24 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 15 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi.

Operasi turut dibantu polis, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung.

"Menurut laporan awal, mangsa disedari hilang kira-kira 7.30 malam semalam ketika keluar mencari daun palas.

"Jadi operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan di sekitar kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mengalami kecederaan dan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 3.31 petang hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 8:19 PM