KEADAAN kereta Perodua Kelisa yang dinaiki empat individu termasuk dua kanak-kanak perempuan selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 78 Jalan Klang-Teluk, dekat Parit 7, Sungai Leman, semalam. FOTO ihsan PEMBACA
KEADAAN kereta Perodua Kelisa yang dinaiki empat individu termasuk dua kanak-kanak perempuan selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 78 Jalan Klang-Teluk, dekat Parit 7, Sungai Leman, semalam. FOTO ihsan PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Empat individu termasuk dua kanak-kanak perempuan parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 78 Jalan Klang-Teluk, dekat Parit 7, Sungai Leman, dekat sini, semalam.

Dalam nahas pada 4.30 petang itu, semua mangsa berusia 2 hingga 43 tahun itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori diparkir di lorong sebelah kanan jalan yang masih ditutup.

Berikutan itu, katanya, kon diletakkan di lorong yang ditutup dari arah Klang-Teluk Intan bagi tujuan kerja-kerja pembersihan jalan.

"Tiba di lokasi, pemandu kereta Perodua Kelisa yang memandu di lorong kiri dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan jalan yang licin.

"Kemudian, kereta itu terbabas ke lorong sebelah kanan (jalan yang ditutup) lalu melanggar belakang lori itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 11:44 AM