Anggota bomba ketika operasi mengeluarkan bayi berkenaan di sebuah rumah di Parit 7, Sekinchan hari ini.
Anggota bomba ketika operasi mengeluarkan bayi berkenaan di sebuah rumah di Parit 7, Sekinchan hari ini.
Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Bayi lelaki meninggal dunia dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di belakang sebuah restoran di Parit 7 dekat sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 4 petang ketika ibu bayi berkenaan yang berusia 37 tahun itu mahu membuang air besar.

Dia yang mengandung tujuh bulan secara tidak sengaja melahirkan anaknya itu.

Bati itu kemudiannya terjatuh ke dalam mangkuk tandas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.03 petang.

Menurutnya, sepasukan sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati bayi yang dilahirkan itu terjatuh ke dalam mangkuk tandas dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya dengan cara memecahkan mangkuk tandas.

"Pasukan perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafisham berkata, ibu mangsa berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 8:41 PM