DATUK Rais Yasin. FOTO Amir Mamat
DATUK Rais Yasin. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan sudah menular ke 22 sekolah rendah di negeri ini selepas 38 murid, termasuk prasekolah, disyaki dijangkiti wabak itu sejak beberapa hari lalu.

EXCO Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu, 37 kes membabitkan murid prasekolah dan murid sekolah rendah di Alor Gajah manakala satu lagi kes di Melaka Tengah.

Justeru, katanya, pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan sentiasa memantau keadaan itu dari semasa ke semasa, khususnya di Alor Gajah, yang mencatatkan jumlah jangkitan tinggi.

"JPN akan mengambil perhatian serius sekiranya ada murid dijangkiti HFMD. Saya sudah minta JPN supaya memaklumkan segera kepada sekolah jika berlaku penularan mendadak penyakit itu.

"Setakat ini, tiada sekolah atau kelas yang ditutup manakala sesi pembelajaran dan kegiatan kokurikulum di sekolah berjalan seperti biasa," katanya selepas menghadiri perasmian Sambutan Hari Guru peringkat negeri di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sekolah yang terbabit dengan HFMD di Alor Gajah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lendu dan SK Durian Daun masing-masing dengan empat kes, Sk Telok Berembang dan SK Alor Gajah 1 (tiga kes), SK Cherana Puteh, SK Kem Terendak 2, SK Ramuan China Kechil, SK Gangsa, SK Pulau Sebang, SK Kem Terendak 1 dan SK Sungai Petai (masing-masing dua kes).

Ia diikuti Sekolah Rendah Arab Al-Faizin, SK Air Jernih, SK Lubok Redan, SK Kampung Tengah, SK Masjid Tanah, SK Belimbing Dalam, SK Lesong Batu, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) San Yuh, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pulau Sebang dan SJKT Alor Gajah dengan masing-masing satu kes.

Sementara itu, SK Kampung Tun Razak di Melaka Tengah pula mencatatkan satu kes.

Sehingga semalam, 20 Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan premis persendirian di Melaka sudah diarahkan tutup serta-merta selama 10 hari susulan penularan HFMD.

Ia susulan peningkatan jangkitan HFMD kepada 1,633 kes berbanding 1,378 kes pada 14 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 4:15 PM