GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


JABATAN Kesihatan Johor menafikan berita yang tersebar di media sosial yang mengatakan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kluang, dekat Batu Pahat, hari ini, disebabkan gejala penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, dakwaan kematian kanak-kanak berkenaan yang viral itu bukan sahaja tidak benar, malah mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa di negeri itu.

“Jabatan Kesihatan Johor menafikan dakwaan yang mengatakan terdapat kematian kanak-kanak berusia dua tahun di Hospital Besar Enche Hajah Kalsom, Kluang, akibat gejala HFMD.

“Memang ada kematian kanak-kanak berusia dua tahun di hospital itu, namun ia berpunca daripada penyakit lain dan bukan HFMD.

“Keadaan HFMD di Johor masih terkawal. Orang ramai dinasihatkan supaya jangan menyebarkan berita yang tidak tepat dan daripada sumber tidak sahih kerana ia hanya akan menyebabkan keadaan panik,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Dr Selahuddeen berkata, sehingga kini, tiada tadika, taska atau sekolah di negeri itu yang diarahkan ditutup akibat HFMD.

Namun, katanya, ada sekolah yang secara sukarela menutup sekolah mereka selepas mendapati ada gejala HFMD dalam kalangan murid dan ia bertujuan bagi mengekang penyakit itu daripada merebak.

“Kementerian Kesihatan akan memaklumkan sebarang kes baharu mengenai HFMD terutama jika terdapat kematian akibat gejala berkenaan.

“Bagaimanapun, ibu bapa dan penjaga diminta mengambil langkah pencegahan awal, termasuk membawa anak mereka ke hospital berhampiran jika ada gejala seperti demam, sakit tekak, sakit kepala, ulser pada tekak, mulut dan lidah serta ruam di tangan, kaki dan kawasan pemakaian lampin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 3:37 PM