GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Johor tahun ini mencatat 5,234 kes sehingga minggu epid 22/2022 yang berakhir kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah meningkat 50 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu tang mencatat 104 kes.

Katanya, peningkatan itu dijangka berlaku pada tahun ini ekoran kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dan selari dengan peningkatan di Malaysia.

"Walaupun situasi ini masih terkawal dan berada dalam keadaan selamat. Saya menyeru kepada rakyat Johor mengambil serius mengenai penyakit HFMD.

"Kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang diperlukan dan ditetapkan. Dalam masa cuti sekolah ini, ibu bapa wajar menggunakan peluang ini bagi mendidik anak-anak supaya memberi lebih perhatian terhadap kebersihan kendiri dan persekitaran.

"Manakala pengusaha institusi pendidikan disarankan membuat kerja sanitasi dan pembersihan di kawasan premis. Bersatu kita bendung wabak HFMD ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Ling, kebanyakan kes HFMD berlaku di negeri ini dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 4,594 kes (87.8 peratus).

Menurutnya, ia diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 564 kes (10.8 peratus), dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, sebanyak 25 wabak aktif HFMD dilaporkan di mana daerah tertinggi mencatatkan kejadian wabak aktif ialah Johor Bahru (11 wabak) dan diikuti daerah Kluang (7 wabak) dan Kota Tinggi (5 wabak) manakala Muar dan Tangkak masing-masing (1 wabak).

"Lokasi penularan wabak HFMD di Negeri Johor membabitkan taska (41 wabak), diikuti oleh rumah persendirian (18 wabak), tabika (13 wabak), tadika (8 wabak), prasekolah (7 wabak), sekolah rendah (3 wabak), pusat jagaan harian (2 wabak) dan lain-lain (3 wabak)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 4:18 PM