Asrol Awang


Kuantan: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pahang meningkat 16 kali ganda sejak awal Januari sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 3,760 kes direkod berbanding 233 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,585 kes atau 95.3 peratus berlaku secara sporadik manakala 175 kes atau 4.7 peratus kes berlaku di taska, tadika dan prasekolah.

"Sebanyak 3,375 kes membabitkan kanak-kanak berusia antara 0 hingga enam tahun, 326 kes pula dalam kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun manakala 59 kes individu berusia lebih 12 tahun.

"Majoriti kes HFMD pulih tanpa rawatan dan hanya 98 kes sahaja yang pernah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut.

PETUGAS kesihatan, melakukan pemeriksaan rawak keatas kanak-kanak di Taska Ar Raudah, berikutan peningkatan kes penularan HFMD. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
PETUGAS kesihatan, melakukan pemeriksaan rawak keatas kanak-kanak di Taska Ar Raudah, berikutan peningkatan kes penularan HFMD. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

"Tiada kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematian direkodkan," katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan risiko di sebuah taska, di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, sehingga semalam, sebanyak 505 premis taska diperiksa dan 35 daripadanya diarah tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala dua pusat jagaan harian yang membuat penutupan secara sukarela.

Katanya, berikutan berlaku peningkatan kes, pihaknya turut melaksanakan sesi libat urus bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 12:50 PM