GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Bilangan penduduk bekerja di negara ini meningkat 2.2 peratus pada suku pertama tahun ini, iaitu 15.57 juta orang berbanding suku sama tahun lalu dengan 15.24 juta orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan itu sekaligus menurunkan kadar pengangguran sebanyak 13 peratus.

"Memandangkan keadaan hampir kembali normal, aktiviti sosioekonomi yang lebih rancak berterusan pada suku tahun berkenaan. Oleh itu, ekonomi berkembang lima peratus pada suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada suku sebelumnya.

"Senario pasaran buruh yang menggalakkan berterusan menjadikan guna tenaga semakin meningkat manakala pengangguran berkurangan lanjutan daripada pengukuhan permintaan buruh oleh sektor ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran menyusut 0.7 mata peratus kepada 4.1 peratus dan mendorong kepada peningkatan bilangan tenaga buruh sebanyak 1.5 peratus kepada 16.25 juta orang.

"Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik 0.4 mata peratus kepada 69 peratus. Walaupun KPTB ini adalah yang tertinggi dicatatkan sejak suku pertama 2020, kadar ini adalah 0.1 mata peratus lebih rendah berbanding yang direkodkan pada suku keempat 2019 iaitu suku tahun sebelum pandemik Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd Uzir berkata, dengan pembukaan semula perniagaan dan sosial secara berterusan, bilangan penduduk yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu menurun 23.9 peratus berbanding suku sama 2021.

Bagi permintaan buruh di negara ini, beliau berkata, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi terus meningkat dengan merekodkan pertambahan dari tahun ke tahun sebanyak 1.8 peratus kepada 8.57 juta jawatan yang melebihi bilangan sebelum pandemik pada suku tahun keempat 2019.

Tambah Mohd Uzir, sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), turut memberi penekanan kepada reformasi pasaran buruh sebagai pemangkin dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Beliau berkata, ia termasuk menaikkan penengah gaji dan upah bulanan, mempertingkat sumbangan pampasan pekerja kepada keluaran dalam negeri kasar serta meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh per pekerja sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 12:48 PM