Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Kuala Lumpur: Bilangan penganggur yang lebih rendah direkodkan pada Mac 2023 iaitu pada 588,700 orang, dengan kadar pengangguran 3.5 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mac dan Suku Pertama 2023.

Statistik ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang optimis pada Mac 2023 telah membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Mac 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.81 juta orang (Februari 2023: 16.78 juta orang).

"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Mac kekal pada 69.9 peratus. Kedudukan tenaga buruh yang semakin baik pada bulan itu adalah berikutan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja pada Mac 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.22 juta orang (Februari 2023: 16.19 juta orang).

"Daripada jumlah penduduk bekerja pada bulan itu, 75.6 peratus adalah dalam kategori pekerja dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 12.26 juta orang.

"Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja sendiri juga meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 2.91 juta orang (Februari 2023: 2.89 juta orang)," katanya.

Mohd Uzir berkata, dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan.

Katanya, trend sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian serta pertanian.

Mengulas lanjut, menurutnya, pada Mac 2023, 80.3 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

"Kategori ini turun sebanyak 0.6 peratus kepada 472,900 orang. Dalam kalangan penganggur aktif, 61.3 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.4 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

"Pada Mac 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.2 peratus, merekodkan 317,300 penganggur belia.

"Dalam pada itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 7.1 peratus, dengan bilangan penganggur belia sebanyak 454,900 orang," katanya.

Menurutnya, bagi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, sebahagian besar negeri merekodkan penurunan dalam kadar pengangguran.

"Kadar pengangguran terendah pada suku berkenaan adalah di Putrajaya dengan 0.8 peratus, diikuti Perlis (2.1 peratus), Pulau Pinang (2.3 peratus) dan Negeri Sembilan (2.5 peratus).

"Pada masa sama, sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. KPTB tertinggi adalah di Selangor dan Putrajaya, yang merekodkan 76.5 peratus, diikuti Kuala Lumpur (73.1 peratus), Pulau Pinang (71.4 peratus) dan Sabah (70.6 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata, ekonomi dalam negeri yang semakin berkembang, membawa kepada lebih banyak permintaan buruh bagi menyokong kestabilan ekonomi yang berterusan serta peningkatan pewujudan peluang pekerjaan.

"Pasaran buruh juga dijangka kekal kukuh pada bulan-bulan yang akan datang berikutan prospek ekonomi yang lebih positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 3:17 PM