NISBAH guna tenaga kepada penduduk bagi September kekal pada 65.2 peratus. FOTO Arkib NSTP
NISBAH guna tenaga kepada penduduk bagi September kekal pada 65.2 peratus. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kadar pengangguran menurun sedikit pada September 2020 dengan bilangan penganggur menurun sebanyak 0.6 peratus dari bulan ke bulan dengan merekodkan 737,500 orang berbanding 741,600 orang pada Ogos 2020.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada September dan Suku Tahun Ketiga 2020, sebaliknya guna tenaga terus mencatatkan peningkatan pada September lalu iaitu penduduk bekerja meningkat 0.3 peratus (Ogos 2020: 0.5 peratus) kepada 15.19 juta orang terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

"Pada September 2020, pemulihan berterusan dapat dilihat dalam penawaran tenaga buruh negara di tengah-tengah cabaran membendung penyebaran pandemik Covid-19 melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengulas mengenai laporan statistik itu dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, penurunan dalam guna tenaga didapati berlaku dalam sektor pertanian dan pembinaan yang secara tidak langsung menggambarkan kekurangan penawaran buruh dalam kedua-dua sektor.

Dr Mohd Uzir berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk bagi September kekal pada 65.2 peratus.

Beliau berkata, kedudukan pasaran buruh bagi bulan ini juga dapat dilihat melalui Statistik Kehilangan Pekerjaan (LOE) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang merekodkan penurunan 20.2 peratus kepada 7,388 orang pada September berbanding bulan sebelumnya (9,261 orang).

Katanya, bilangan pemberhentian pekerja yang dilaporkan oleh Jabatan Tenaga Kerja turut menunjukkan trend penurunan manakala MyFutureJobs melaporkan sebanyak 58,607 kekosongan jawatan dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), berbanding 49,811 orang pencari kerja.

Mengenai taraf pekerjaan, Dr Mohd Uzir berkata, kategori pekerja meningkat sebanyak 14,900 orang kepada 11.73 juta orang berbanding bulan sebelumnya, bekerja sendiri pula naik 0.7 peratus merangkumi 2.43 juta orang.

"Bagi tenaga buruh, sebanyak 15.93 juta orang direkodkan pada September dengan peningkatan 0.2 peratus daripada 15.90 juta orang pada Ogos. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 68.4 peratus," katanya.

Berkenaan kedudukan penawaran tenaga buruh pada suku ketiga 2020, Dr Mohd Uzir berkata, selepas merekodkan kadar pengangguran tertinggi 5.1 peratus pada suku tahun kedua 2020, kadar pengangguran pada suku tahun ini menurun kepada 4.7 peratus.

Mengambil kira statistik tenaga buruh sehingga September dan senario semasa, beliau berkata, Jabatan Perangkaan menyemak semula ramalan kadar pengangguran bagi tahun 2020 kepada lingkungan 4.4 hingga 4.7 peratus berbanding ramalan awal iaitu 3.5 hingga 5.5 peratus.

"Dengan semakan semula kadar ini, bilangan penganggur yang dianggarkan bagi tahun 2020 akan berada dalam lingkungan 701,000 hingga 729,000 orang," kata Dr Mohd Uzir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 7:20 AM