PENIAGA pasar menunjukkan kain rentang mengenai bekalan ayam tidak mencukupi di Pasar Awam Melaka, Bachang. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
PENIAGA pasar menunjukkan kain rentang mengenai bekalan ayam tidak mencukupi di Pasar Awam Melaka, Bachang. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Kami tidak boikot harga baharu ayam standard, tapi bekalan memang tidak cukup," kata peniaga ayam, Jamel Jani, 58, mengulas isu kehabisan bekalan ayam segar di Pasar Awam Melaka di Bachang di sini.

Dakwanya, dia menerima bekalan yang sangat terhad daripada pembekal dan bersimpati dengan pelanggan yang tidak dapat membelinya.

Tinjauan di pasar itu, hari ini juga mendapati ayam segar habis cepat dengan 18 peniaga dilihat menutup kedai mereka pada 2 petang selepas kehabisan stok.

Jamel berkata, ayam jualannya hanya cukup untuk pelanggan tetap seperti peniaga makanan dan restoran yang membuat tempahan awal.

"Biasanya gerai saya dapat bekalan antara 400 hingga 500 kilogram ayam segar tapi hari ini hanya dapat 223 kilogram sahaja," katanya yang dimaklumkan pembekal bahawa pengurangan bekalan kerana pihak itu tidak dapat menampung kos kenaikan makanan ayam selain gaji pekerja.

Dia juga menegaskan peniaga tidak memboikot jualan ayam demi menaikkan harga, sebaliknya menyokong usaha kerajaan yang menetapkan harga siling ayam standard kepada RM8.90.

Dalam pada itu, pemborong ayam, Ke Jok Kwee, 60, berkata, bekalan diterima daripada pembekal di Serkam berkurangan kira-kira 35 peratus yang menyebabkan dia terpaksa mencatu bekalan kepada 13 peruncit di pasar itu.

Katanya, pada hujung minggu lazimnya dia menerima bekalan 3,000 ayam, namun kecewa apabila hari ini hanya memperoleh 2,000 ekor sahaja.

"Inilah kali pertama berlaku kes seperti ini selepas lebih 20 tahun dan pembekal beri alasan bekalan ayam kurang kerana kos semakin meningkat, tetapi kerajaan terus menurunkan harga daripada RM9.50 kepada RM8.90 sekilogram hari ini.

"Pembekal dakwa sehingga kini mereka belum dipanggil untuk berbincang mengenai subsidi, sebab itu mereka hadkan pengeluaran kerana tak mampu lagi tanggung kos yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 5:37 PM