Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bekalan ayam segar di Kelantan sudah pulih sejak seminggu lalu apabila peniaga memperoleh jumlah yang mencukupi daripada pembekal.

Tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, mendapati semua peniaga mendapat bekalan ayam daripada pembekal dan pemborong sama ada dari Kelantan atau Perak.

Peniaga ayam, Rusmini Hanafi, 48, berkata, dia mendapat ayam yang cukup sebanyak 300 ekor sehari, berbanding sekitar 100 hingga 150 ekor sehari sebelum ini.

"Alhamdulillah bekalan ayam sudah cukup, namun harganya sedikit tinggi menyebabkan tidak ramai pelanggan yang datang membeli di kedai.

"Namun, saya bersyukur kerana ada pelanggan tetap seperti pengusaha kantin hospital dan pemilik kedai makan yang mengambil bekalan dengan saya," katanya yang berniaga ayam lebih 20 tahun yang lalu.

Peniaga ayam mematuhi harga ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram ketika tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga ayam mematuhi harga ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram ketika tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pemborong ayam, Kamariah Hanafi, 58, berkata, dia mendapat bekalan ayam daripada pembekal antara 500 hingga 800 ekor sehari.

Katanya, ayam yang diperoleh daripada pembekal dengan harga RM8.90 sekilogram sebelum dijual kepada penjual dan peruncit.

"Bekalan ayam sudah pulih, namun harga makin naik, saya hanya dapat untung yang kecil tapi tak mengapa asalkan bekalan setiap hari habis dijual," katanya.

Pembeli, Abdul Kadir Ali, 73, berkata, harga ayam sangat mahal iaitu RM9.50 sekilogram menyebabkan pengguna rasa terbeban.

"Saya berharap kerajaan memantau harga memandangkan bekalan sudah pulih dan saya lihat bekalan ayam di pasar juga banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 1:43 PM