Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan berbentuk diskaun, baucar dan rebat bakal akan diperluaskan secara berperingkat.

Ia membolehkan rakyat menyemarakkan pelancongan domestik seiring peralihan ke fasa endemik.

Pemberian inisiatif bermula 29 April lalu membabitkan dua kluster iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi menarik minat masyarakat untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk Kluster Pengangkutan Darat.

"Seramai 24,875 pengguna berpeluang menebus pemberian diskaun RM10 bagi pembelian tiket pergi atau balik (sehala) dari KL Sentral ke KLIA/KLIA2.

"Selain itu, pemegang MyKad berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM15 untuk setiap perjalanan dengan syarat pembelian tiket berharga RM16 ke atas dan merentas negeri.

"Inisiatif ini memberi manfaat kepada 39,800 rakyat supaya mereka dapat membantu dalam merancakkan lagi ekonomi negara," katanya dalam Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan Lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Dr Santhara J. P dan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Seri Ramlan.

Pada majlis itu, Motac dan Tourism Malaysia turut melancarkan lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua bertajuk 'Menemui Semula' untuk memberikan nafas baru.

Menurutnya, pelan pemulihan untuk Kluster Persatuan Pelancongan turut memberi manfaat kepada 14,925 pengguna dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai kira-kira RM3 juta.

"Pengguna yang ingin mendapatkan diskaun boleh membeli pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas dan menikmati diskaun sebanyak RM100 bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022," katanya.

NANCY Shukri (4 dari kiri) ketika merasmikan Pelancaran Lagu Cuti-Cuti Malaysia. FOTO Amirudin Sahib.
NANCY Shukri (4 dari kiri) ketika merasmikan Pelancaran Lagu Cuti-Cuti Malaysia. FOTO Amirudin Sahib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:24 PM