FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Sumbangan industri pelancongan domestik adalah besar kepada negara dan mengikut data Akaun Satelit Pelancongan Jabatan Perangkaan menunjukkan perbelanjaan sebanyak RM92.6 bilion direkodkan sektor pelancongan domestik pada 2019.

Justeru, dalam usaha mempertingkatkan lagi sektor pelancongan domestik, kerajaan memperkenalkan gelembung perjalanan domestik zon hijau bermula 22 November lalu.

Terbaharu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Perjalanan Domestik yang diluluskan dan boleh didapati di laman web dan platform media sosial MOTAC.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, dengan SOP Gelembung Perjalanan Domestik itu ia memberi kebenaran untuk pergerakan antara zon hijau dan negeri serta seterusnya pintu sempadan negara kelak.

Menurutnya, cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi inisiatif ini yang disediakan MOTAC itu juga sudah dipersetujui bersama dan diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Selaras strategi MOTAC di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan, ia meliputi tiga strategi utama iaitu pertama untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat melancong semula.

"Kedua adalah fokus untuk menyemarakkan pelancongan domestik atau Reviving Domestic Tourism.

"Manakala yang ketiga adalah untuk mengenal pasti segala produk dan meningkatkan penawaran yang lebih kreatif dengan memaksimumkan sumber sedia ada," katanya.

Nancy berkata, selaras keputusan kerajaan memperkenalkan gelembung perjalanan domestik zon hijau ini, MOTAC menyediakan tiga inisiatif iaitu penginapan, pengangkutan dan diskaun pembelian produk kraf.

"Menerusi inisiatif penginapan, pelbagai pakej penginapan dengan kerjasama MAH dan e-market platform Shopee akan disediakan.

"Inisiatif pengangkutan pula ialah Kempen 'Cuti-Cuti Malaysia' dengan kerjasama syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), Air Asia, Firefly dan Malindo Air.

"Bagi inisiatif diskaun pembelian produk kraf di outlet Karyaneka pula, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk pembelian produk kraf di semua outlet Karyaneka, anak syarikat Kraftangan Malaysia dan pengguna layak menikmati diskaun RM30 bagi setiap pembelian minimum gandaan RM100," katanya.

Dengan inisiatif disediakan itu, beliau menyeru pemain industri pelancongan sentiasa menawarkan pakej menarik selain menjaga SOP dengan norma baharu bagi memastikan kelestarian ekonomi pelancongan.

"Program dan inisiatif dirangka ini diharap dapat membantu merancakkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama dari setiap penggiat industri pelancongan tempatan ke arah pemulihan dan kemajuan ekonomi negara.

"Saya juga menyarankan orang ramai menggunakan khidmat agen pelancongan tempatan dan manfaatkan pakej yang ditawarkan penggiat pelancongan tempatan," katanya yang turut berharap agen pelancongan mengambil kesempatan dari inisiatif ini bagi menawarkan pakej inovatif.

Nancy menyeru orang ramai berada di zon hijau keluar melancong dengan selamat berpandukan SOP ditetapkan, sekali gus membuktikan kita mampu melawan Covid-19 dan melancong secara bertanggungjawab demi membangunkan semula ekonomi pelancongan yang melalui cabaran yang getir tahun ini.

"Saya berharap semua penggiat industri pelancongan terbabit sentiasa memberi sokongan padu bagi memastikan kejayaan program ini dan seterusnya kesediaan untuk sama-sama memajukan industri pelancongan domestik negara.

"Saya juga berharap semua pihak saling bekerjasama rapat dengan MOTAC supaya usaha yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan tersusun serta strategik dalam mengembalikan daya saing industri dalam tempoh yang lebih cepat," katanya.

Bagi mendapatkan inspirasi trip pelancongan serta pakej menarik domestik, orang ramai boleh mendapatkannya di www.malaysia.travel.


SOP Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik bagi sektor pelancongan yang meliputi Pergerakan Dari Zon Hijau ke Zon Hijau adalah Pergerakan merentasi mukim/ daerah di dalam negeri PKPB yang sama (intra-state), Pergerakan keluar dari negeri PKPB merentasi mukim/daerah/ negeri ke negeri yang lain (inter-state PKPB/PKPP) manakala Pergerakan keluar/masuk kawasan PKPD tidak dibenarkan.

Pelancong dari Zon Hijau menuju terus ke destinasi Zon Hijau yang tidak perlu merentasi kawasan merah, jingga dan kuning boleh membuat perjalanan tanpa kebenaran PDRM, manakala bagi pelancong yang perlu merentasi kawasan merah, jingga dan kuning perlu mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

Jenis percutian domestik bagi gelembung perjalanan domestik ini pula terbahagi kepada empat, pertama percutian harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), kedua percutian dengan tempahan penginapan / tiket yang sudah dibuat terlebih dahulu dengan mana-mana pengusaha pelancongan.

Ketiga, percutian dengan pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang sah berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya manakala keempat percutian pakej pelancongan dengan pemandu pelancong berlesen menaiki kenderaan pelancongan yang sah berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Pengangkutan.

Jenis aktiviti pelancongan domestik yang dibenarkan bagi Gelembung Perjalanan Domestik ini pula ialah aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), Karnival Pelancongan dan Kebudayaan, pelancongan pengembaraan dan Sukan serta aktiviti Pengusahaan Pusat-pusat Tarikan Pelancong dan Premis Kebudayaan, Seni dan Warisan.

Aktiviti lain termasuk pelancongan minat khas (golf, selam skuba, snorkeling, berbasikal, berlayar dan sebagainya) dan aktiviti Eko-Kembara (bird watching, caving, mendaki gunung, white-water rafting, hiking, jungle trekking dan sebagainya) dan kursus, latihan, seminar berkaitan pelancongan, kebudayaan, seni dan warisan.

Perincian bagi SOP Gelembung Perjalanan Domestik (Domestic Travel Bubble) dan SOP-SOP yang lain boleh didapati di laman web Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau www.motac.gov.my, platform media sosial di mymotac dan laman web MKN di www.mkn.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 7:10 AM