Muhaamad Hafis Nawawi


LAPAN sub sektor sektor pelancongan domestik dibenarkan namun mesti mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi memastikan keselamatan orang ramai, pembukaan kembali sektor pelancongan domestik turut membabitkan beberapa perkara yang dilarang dan dibenarkan dengan syarat pematuhan kepada semua SOP.

Menurutnya, aktiviti sub sektor yang dibenarkan dengan SOP membabitkan pameran hasil seni, budaya dan warisan di premis dan fasiliti awam kebudayaan, premis penginapan hotel, syarikat pengendali pelancongan serta pemanduan pemandu pelancong.

"Sub sektor lain dibenarkan ialah operasi Institut Latihan Pelancongan (ILP), program pengalaman homestay Malaysia, aktiviti pelancongan pengembaraan dan aktiviti lasak dan aktiviti selam skuba dan snorkeling.

"Bagi kelapan-lapan sub sektor yang dinyatakan ini, kementerian menyediakan SOP yang terperinci dan khusus hasil proses konsultasi, libat urus dan kerjasama dengan semua penggiat industri pelancongan dan kebudayaan, kementerian berkaitan dan lain-lain pihak di pelbagai platform," katanya pada sidang media Penyamarakan Semula Pelancongan Domestik, hari ini.

SELAM skuba antara sub sektor pelancongan yang dibenarkan. FOTO arkib NSTP
SELAM skuba antara sub sektor pelancongan yang dibenarkan. FOTO arkib NSTP

Nancy berkata, bagi merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara, strategi awal pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan dikenalpasti.

"Antaranya, ialah dengan mengutamakan platform digital seperti media sosial, laman blog, laman sesawang dan e-pasaran.

"Pada masa sama, Motac melihat pentingnya pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan yang efektif dirangka dengan kadar segera bagi membolehkan ekonomi negara pulih dengan secepat yang mungkin," katanya.

Beliau berkata, Motac melalui agensinya, Tourism Malaysia akan mempromosikan Kempen Cuti-Cuti Malaysia untuk menggalakkan rakyat negara ini melancong di dalam negara.

"Motac akan menggunakan platform seperti Cuti-Cuti Malaysia E-Travel Fair, E-Corporate Bazaar dan Malaysia Tourism Travel Bazaar bagi membantu industri memperbanyakkan tawaran pakej menarik.

"Penggiat industri digalakkan mengumpul pakej menarik dan kemukakan kepada Motac melalui persatuan pelancongan yang sedia ada untuk dimasukkan dalam platform yang sedia ada seperti www.malaysia.travel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 3:27 PM