BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik menghala ke Lembah Klang dari utara dan timur masih sesak setakat tengah hari tadi berikutan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti Hari Raya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kesesakan dari arah utara menuju ke Lembah Klang berlaku di Bertam menuju ke Plaza Tol Sungai Dua, dari Permatang Pauh ke Seberang Jaya dan Juru ke Plaza Tol Juru.

"Selain itu kesesakan juga dilaporkan berlaku di Bukit Tambun menuju ke Bandar Cassia, Alor Pongsu ke Bukit Merah, Changkat Jering ke Bukit Berapit, Kuala Kangsar ke Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak sehingga ke Terowong Menora, Ipoh ke Gopeng dan Bidor ke Slim River," katanya kepada Bernama.

Menurut jurucakap itu, aliran trafik dari pantai timur pula, kesesakan berlaku di Bentong menuju ke Plaza Tol Bentong dan selepas Plaza Tol Bentong menuju ke Bukit Tinggi.

Bagaimanapun, katanya aliran trafik bagi arah selatan ke Lembah Klang dalam keadaan terkawal berikutan kesesakan hanya dilaporkan berlaku di Sedenak menuju ke Simpang Renggam.

"LLM menjangkakan kesesakan akan berlarutan sehingga lewat malam dan pengguna dinasihatkan merancang perjalanan mereka terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 3:36 PM
JUMLAH kenderaan meningkat serta trafik bergerak perlahan arah selatan dari Perai ke Tol Juru ketika tinjauan 12.30 tengah hari tadi. FOTO Danial Saad
JUMLAH kenderaan meningkat serta trafik bergerak perlahan arah selatan dari Perai ke Tol Juru ketika tinjauan 12.30 tengah hari tadi. FOTO Danial Saad