Keadaan di lebuh raya menerusi pemantauan LLM malam ini. Foto Ihsan LLM
Keadaan di lebuh raya menerusi pemantauan LLM malam ini. Foto Ihsan LLM
Yusmizal Dolah Aling

BEBERAPA lebuh raya utama kini semakin sesak dengan pertambahan kenderaan sempena perayaan Aidiladha.

Pemantauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati sehingga 10 malam ini mendapati trafik perlahan di beberapa lokasi di Slim River , Sungkai dan Juru ke Permatang Pauh untuk ke utara.

Bagi aliran trafik ke pantai timur, kenderaan sesak lebih 20 kilometer dari Kilometer 41 Tol Karak menghala ke Bukit Tinggi dan perlahan dari Bukit Tinggi ke Bentong.

Pada petang hari ini, kenderaan dilihat memenuhi Plaza Tol Gombak menghala Pantai Timur dan Plaza Tol Jalan Duta menghala utara.

LLM turut mengeluarkan perancangan pergerakan kenderaan balik kampung untuk kemudahan pengguna lebuh raya serta mengemas kini keadaan terkini trafik menerusi Twitter.

Terdahulu PLUS dalam kenyataan medianya menasihatkan pengguna lebuh raya menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

Dalam satu kenyataan PLUS berkata, pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai 2020.

Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang antara 1 hingga 3 Ogos, jadual waktu perjalanan (TTA) menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

Pengguna lebuh raya akan tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti penjarakan sosial dan pengambilan suhu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 11:20 PM