LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Pemandu Toyota Hilux yang terbabit kemalangan menyebabkan dua beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut di Jalan Kayan, di sini, semalam, ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada 2 petang.

Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati lelaki itu negatif dadah.

"Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux dari arah Sitiawan cuba memotong sebuah lori di hadapannya tetapi bergesel dengan bahagian kanan lori itu.

Katanya, akibatnya pacuan empat roda itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar Proton Persona yang dipandu seorang wanita bersama dua anak perempuannya berada di laluan sah dari arah Teluk Intan.

"Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Proton Persona meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang anaknya yang juga penumpang hadapan parah sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.35 pagi, hari ini, manakala seorang lagi anak yang juga penumpang belakang cedera ringan.

"Empat sekeluarga berusia 33 hingga 69 tahun menaiki Toyota Hilux termasuk pemandu cedera, manakala pemandu lori berusia 38 tahun tidak cedera," katanya.

Media melaporkan, Nurdiana Abd Rahman, 36, meninggal dunia selepas kereta Proton Persona dipandunya bersama dua anak perempuannya bertembung dengan Toyota Hilux, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, anak sulung Nurdiana, Fatin Nurjannah Mohd Ridzuan, 4, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seri Manjung (HSM), manakala seorang lagi anaknya cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 10:04 PM