KEMALANGAN  di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar yang mengakibatkan seorang warga emas maut. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar yang mengakibatkan seorang warga emas maut. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Seorang maut manakala empat lagi cedera, termasuk bayi lelaki apabila kereta dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berdekatan Taman Makmur, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya berkata, mangsa maut adalah wanita warga emas dikenali sebagai Nafsiah Abd Rahman, 63, yang menaik kereta Proton Persona.

Katanya, empat yang lain membabitkan seorang lelaki, dua wanita dan bayi lelaki yang menaiki Proton Persona itu cedera, sementara pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux, lelaki warga Indonesia selamat.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput digerakkan ke lokasi kejadian sebaik panggilan kecemasan diterima 6.04 petang tadi.

"Setibanya di situ, pemandu Proton Persona tersepit manakala empat mangsa lain diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pasukan perubatan hospital.

"Bomba bertindak menggunakan peralatan menyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak hospital serta polis untuk tindakan selanjutnya," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, nahas dipercayai berpunca apabila Toyota Hilux terbabas sebelum memasuki laluan Proton Persona dari arah bertentangan.

Katanya, operasi tamat 6.56 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 9:14 PM